Kelewatan suntikan vaksin oleh kerajaan Perikatan Nasional ditegur oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah.
Menurut beliau, seharusnya kerajaan menggunakan pendekatan yang berjaya dilaksanakan di negara lain, iaitu memanfaatkan klinik swasta bagi menyuntik vaksin Covid 19 secara percuma kepada rakyat.
Katanya, dasar kerajaan yang salah dan mengenepikan pengamal perubatan sedia ada menyebabkan progres suntikan vaksin amat rendah pada bulan Mac, April dan Mei.
"Perdana Menteri menerima vaksin pertama pada Januari tahun ini. Isunya apa terjadi kepada role out vaksin untuk Mac, April dan Mei? Kalau kita teliti kadar suntikan satu hari waktu itu tak sampai 20,000 sehari.
"Sepatutnya dijanji oleh Menteri Kesihatan waktu itu 150,000 suntikan sehari tetapi tidak dicapai
"Kita hilang 3 bulan. Kita banding United Kingdom atau Amerika Syarikat. Joe Biden (presiden AS) masuk jawatan, dia janji dalam sehari akan buat 100 juta suntikan.
"Dalam 100 hari dia buat 200 juta dos. Kenapa? Mereka gunakan pendekatan keseluruhan kerajaan, keseluruhan masyarakat. Mereka guna semua klinik swasta, farmasi, pasar raya masuk pun boleh ambil vaksin. Role out memang cukup pantas.
"Di sini kita nak kesemua kerajaan dan masyarakat tetapi kita tak pakai apa yang mereka buat di negara lain, semua klinik swasta, farmasi digembleng tenaga untuk satu role out yang pantas," katanya.
Sivarasa mempertikaikan kenapakah kerajaan perlu menunggu penyediaan Pusat Pemberian Vaksin mega sehingga tidak memanfaatkan 8,000 doktor perubatan biasa untuk suntikan vaksin.
"Mereka ini ada peralatan, peti sejuk dan sebagainya untuk vaksin. Kenapa kita bila dah ada sistem di depan yang telah wujud dan bertabur di seluruh negara, tidak masa itu kita gunakan mereka untuk buat role out yang pantas.
"Kenapa tidak gunakan mekanisme sedia ada. Kalau digunakan sepenuhnya role out maka 500,000 sehari sudah tercapai 3 bulan dulu, dan lebih banyak nyawa boleh diselamatkan," katanya yang mahu Menteri menjawab soalan tersebut waktu penggulungan hujah pada hari Isnin ini.
Kommentare