Kerajaan sepatutnya menanggung kos kuarantin untuk semua warganegara berkelayakan yang mahu pulang dari luar negara.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata kos kuarantin berjumlah RM2,100 dilihat amat membebankan kepada mereka yang terkandas di luar negara dan terpaksa menanggung pelbagai perbelanjaan lain.
"Kerajaan memberi gambaran bahawa rakyat hanya perlu menanggung sekadar 44.7 peratus daripada kos kuarantin. Tapi kalau dibandingkan dengan apa yang dinyatakan sebelum ini iaitu kerajaan akan tanggung RM150 sehari, ia dikatakan bersamaan dengan RM2,100.
"Gambaran itu hakikatnya warganegara yang ingin pulang perlu menanggung 100 peratus untukkos kuarantin, tempat tinggal dan makan minum," katanya dalam sidang media yang diadakan di Parlimen.
Akmal juga menganggap kegagalan segelintir individu mematuhi arahan kuarantin tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menanggung kos kuarantin.
"Penukaran dasar tanggungan kos kuarantin ini akibat kegagalan dan ketidakpatuhan segelintir individu yang sepatutnya kuarantin di rumah tapi melanggar arahan.
"Ini menyebabkan kesan dari soal jangkitan tetapi dalam soal kos, rakyat terpaksa menanggung beban itu.
"Jangan pula kesalahan orang lain dibebankan pula kepada orang lain," katanya.
Pada masa sama, Akmal turut menggesa kerajaan negeri Johor supaya bertanggungjawab dalam mengurangkan beban rakyat negeri itu yang terkandas di luar negara, sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Sarawak.
"Kenapa kerajaan Sarawak masih tanggung kos rakyatnya yang pulang dari luar negara? Sekiranya kerajaan pusat tidak mengambil peduli dan tidak mahu menanggung kos, kenapa kerajaan negeri tidak memikul tanggungjawab demikian.
"Kalau individu yang ada urusan di Singapura dan perlu ulang-alik, sudah tentu mereka perlu tanggung kos kuarantin, tapi mereka yang tersangkut sejak bulan Mac, bila nak balik kena bayar RM2,100, sedangkan mereka kena tanggung penempatan di Singapura.
"Kita bukanlah nak persoal semua perkara atau minta kerajaan macam-macam, tapi soal keadilan dan keprihatinan kepada rakyat yang mencari rezeki wajar dibantu dan menampung kos tersebut.
"Kalau kerajaan pusat bagi garis panduan dan tidak mampu, maka perkara ini boleh dibawa ke sidang DUN Johor supaya kerajaan negeri ambil peranan seperti di Sarawak," katanya.
Comments