Kenaikan nilai ringgit kerana asas ekonomi domestik kukuh - Dr Barjoyai
- Suara Keadilan
- 20 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengukuhan ringgit dalam beberapa minggu kebelakangan ini didorong gabungan faktor global dan domestik, termasuk ketidaktentuan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan minat pelabur terhadap pasaran Malaysia, kata Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai (gambar).
Menurut pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu, permintaan terhadap ringgit turut menunjukkan peningkatan berikutan minat pelaburan yang semakin kukuh di Malaysia, di samping faktor perdagangan.
"Maknanya asas ekonomi domestik memang semakin kukuh dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selain aliran modal masuk ke pasaran bon dan ekuiti yang terus menyokong permintaan terhadap ringgit.
"Harga komoditi yang meningkat turut menyokong pengukuhan ringgit dari sudut permintaan.
"Secara keseluruhan, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada pengukuhan ringgit dan mata wang itu dijangka kekal kukuh dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas faktor di sebalik pengukuhan ringgit ke paras RM3.95 sejak seminggu lalu, sekali gus mencatatkan prestasi terbaik dalam hampir sedekad.
Ditanya sama ada pengukuhan ringgit mampu menurunkan harga barangan import, khususnya dari AS dan Eropah, ahli akademik itu berkata isu sebenar berkaitan harga barangan import terletak di peringkat peruncit dan pemborong.
Menurut beliau, apabila ringgit mengukuh, kos import menjadi lebih rendah dan keadaan itu sepatutnya membolehkan peruncit dan pemborong memindahkan manfaat tersebut kepada pengguna melalui penurunan harga barangan.
"Tetapi rasanya mereka juga ada menyimpan stok dan akan menghabiskan stok lama yang dibeli pada harga yang lebih tinggi.
"Sebahagian peruncit juga mempunyai polisi harga yang sudah ditentukan lebih awal dan mereka tidak mahu mengubah polisi itu sewenang-wenangnya.
"Jadi mereka tunggu tempoh mereka mengubah polisi harga itu, mungkin dalam beberapa minggu lagi.
"Namun, secara keseluruhannya penurunan harga sepatutnya dapat dipindahkan kepada pelanggan secepat mungkin selari dengan pengukuhan ringgit,” ujarnya lagi.





