Kritikan warga maya yang mempersenda pengumuman kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13% dibuat pada 1 Mei lalu dijawab oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan pengkritik serta pembangkang terlalu gelojoh untuk memburuk burukkan kerajaan tanpa mendengar terlebih dahulu keseluruhan pengumuman.
Tegas Anwar, hujah kenaikan gaji penjawat awam lebih sedekad lalu sebanyak 35% lebih banyak amat tidak tepat kerana bukan dibuat secara menyeluruh, hanya kakitangan berjawatan rendah sahaja yang menikmati kenaikan.
Namun pada kali ini, hakikatnya kenaikan gaji penjawat awam pangkat rendah mencecah hampir 40%.
"Yang dikaitkan kenapa kenaikan 15%, dahulu pernah mencecah 35%?
"Saya kata nak kritik boleh tetapi sabar dulu, jangan dengki. Kalau ada pengumuman baik, dia mesti cuba berhujah untuk mencemuhkan.
"Kalau tengok perincian, bagi kategori (pangkat) rendah, kenaikan itu 20% hingga hampir mencecah 40% bagi kebanyakan penjawat awam.
"Ada pula kata ada kaitan dengan (pilihan raya kecil) Kuala Kubu Bharu, tiada kena mengena. Keputusan itu (naik gaji) kita buat awal tahun sebelum ADUN itu meninggal dunia.
"Pengumuman itu bertahap. 1 Mei kita umum dasar, kemudian kita umum lebih terperinci dan selengkapnya masa belanjawan (2025)," katanya dalam ucapan di rumah terbuka Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.
Menurut beliau, kenaikan gaji kali ini dibuat secara saksama dengan menaikkan gaji kakitangan awam berpangkat rendah lebih banyak (sehingga 40%) berbanding kakitangan berpangkat tinggi bagi menjamin tiada lagi penjawat awam berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Selain itu, PM turut membidas golongan yang mempertikaikan sama ada parlimen akan meluluskan atau tidak kenaikan baharu berkenaan.
Katanya, ketua ketua parti komponen Kerajaan Perpaduan sama ada dari BN, GPS dan GRS semuanya bersetuju mengenai kenaikan tersebut.
"Kita tidak boleh menghalang beberapa kenyataan yang hambar. Satu dia kata, ini pengumuman Anwar untuk laksana 1 Disember (2024), mana tahu kalau parlimen tak luluskan ...
"Saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah kenaikan ini? Kalau betul bantah, kita humban dia dalam pilihanraya akan datang
"Kedua, saya jelaskan 12 tahun tak naik gaji. Kerja bertambah. Kerja lebih berat dan dedikasi diminta tambahan, setelah 12 tahun tidak diberi kenaikan maka kita luluskan," katanya lagi.
Comentarios