Kenaikan cukai pintu di Alor Star kerana sokongan kepada kerajaan Pas kuat?
- Suara Keadilan

- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Cadangan kenaikan kadar cukai taksiran atau cukai pintu sehingga melebihi 100% oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Kedah dilihat bermotivasikan politik apabila kerajaan Pas dikatakan mempunyai sokongan kuat pada waktu ini, yang memberikan mereka ruang untuk melaksanakan keputusan berkenaan.

Demikian pandangan mantan Exco Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi terhadap cadangan itu yang menjadi topik perdebatan hangat di negeri jelapang padi berkenaan.
"Kalau isu pentadbiran (MBAS), setiap lima tahun kajian (kenaikan) akan dibuat (namun tidak dilakukan sejak dua dekad lalu).
"Jadi pada ketika itu sudah ada satu kebangkitan, sebab itu pada tahun 1999 (selepas pilihan raya umum), kita daripada Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai Pas, DAP dan ketika itu turut disertai KEADILAN berjaya memenangi 12 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang merupakan satu pencapaian agak tinggi.
"Selepas itu, disebabkan pengaruh pembangkang yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri (BN) ketika itu tidak menaikkan cukai pintu antara tahun 1999 hingga 2004 kerana kedudukannya tidak stabil.
"Pada 2008 pula, berlaku perubahan kerajaan di Kedah apabila BA, termasuk Pas, mengambil alih pentadbiran negeri.
"Namun, ketika itu kami juga tidak menaikkan cukai pintu kerana kedudukan kerajaan masih belum cukup kukuh. Dia ada faktor politik, maka tidak dinaikkan cukai pintu," katanya dalam satu siaran video.
Menceritakan lebih lanjut, beliau yang juga mantan Pengerusi AMANAH Kedah berkata, selepas tempoh tersebut suasana politik tetap tidak stabil sehinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 tiba dan Perikatan Nasional (PN) meraih kemenangan besar di Kedah.
"Saya melihat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kini mempunyai keyakinan sebagai ketua kerajaan negeri bahawa sudah tiba masanya untuk menaikkan cukai pintu.
"Dia sudah ada satu ‘keyakinan’ bahawa kalau cukai dinaikkan, sokongan kita (tetap) kuat," ujarnya lagi.
Terdahulu, kenaikan cukai pintu menjadi keresahan rakyat kerana jumlahnya yang disifatkan tinggi.
MB Sanusi dilaporkan media menggesa pemilik dan pemegang taruh yang terkesan dengan kadar cukai baharu itu untuk mengemukakan bantahan melalui saluran rasmi sehingga 5 November lalu.
Sebelum ini, media turut melaporkan bahawa mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menggesa agar MBAS menyemak semula kadar baharu cukai pintu yang didakwa sesetengah pihak melebihi 200% bermula tahun 2026.
Ahmad Bashah berkata, kenaikan itu dilihat membebankan masyarakat khususnya dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.









Comments