Kemuncak ASEAN peluang sampaikan pendirian isu Palestin kepada Trump
- Suara Keadilan

- Sep 29
- 1 min read

Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 merupakan peluang terbaik untuk Malaysia dan ASEAN menyampaikan pendirian jelas berhubung isu Palestin.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, jemputan itu dibuat bukan atas kapasiti Malaysia semata-mata tetapi sebagai pengerusi ASEAN yang mewakili kesepakatan 11 negara anggota.
"Platform ini penting untuk kita nyatakan secara terus kepada Trump keperluan segera gencatan senjata dan penghentian kekejaman Israel di Gaza.
"Malaysia percaya kepada dialog, inilah masa paling sesuai untuk menyampaikan pendirian jelas," katanya dalam satu sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), MAPIM Malaysia di Sepang pada Ahad.
Sebelum ini, terdapat pihak mempertikaikan jemputan kepada Presiden AS, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.
Fahmi sementara itu menegaskan, usaha menjemput pemimpin kuasa besar dunia hadir ke Malaysia adalah cabaran, tetapi ia akan menjadi bermakna apabila mesej bahawa masyarakat antarabangsa tidak lagi berdiam diri terhadap kekejaman Zionis berjaya disampaikan.
"Kita lihat sikap banyak negara telah berubah. Dalam tempoh 24 jam terakhir, perbincangan hangat berlaku bukan sekadar mengenai gencatan senjata, tetapi juga menghentikan perang di Gaza.
"Malah Luxembourg juga telah mengiktiraf kewujudan negara Palestin," ujarnya.









Comments