Kempen perangi rasuah berjaya, setahun kerajaan rampas RM5 bilion - PM
- Suara Keadilan
- Aug 16
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha reformasi pentadbiran memperkukuh tatakelola dan membanteras rasuah bukan sekadar retorik apabila hampir RM5 bilion berjaya dirampas dalam tempoh setahun lalu.
Menurut beliau, pencapaian itu menjadi bukti bahawa kesungguhan kerajaan menegakkan integriti mampu menghasilkan perubahan nyata dalam pentadbiran negara.
"Saya nak beritahu berapa yang kita kumpul. Dalam setahun ini sahaja, kita sudah berjaya merampas RM4 hingga RM5 bilion hasil daripada kegiatan rasuah di pelbagai agensi, daripada jabatan kementeriannya, imigresen, kastam sehinggalah tokoh politik.
"Itu maknanya, dengan kecekapan dan kesungguhan kita bertindak, kita mampu membersihkan sistem dan membuktikan tatakelola yang baik adalah tonggak utama negara," kata Anwar dipetik Sinar Harian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
PM menegaskan era Kerajaan Madani tidak lagi boleh menerima budaya sogokan dan komisen yang sinonim dengan projek mega sebagaimana dalam pentadbiran sebelum ini.
"Kalau mahu bina bangunan tingkat 15, diminta ‘saguhati’. Kalau naik tingkat 20, ‘saguhati’ bertambah. Semua ini mesti dihentikan. Syarat-syarat itu harus termeterai dalam peraturan yang jelas di semua bidang," katanya.
Mengulas pembangunan Ipoh Sentral bernilai RM6.25 bilion di kawasan seluas 67 ekar pula, Anwar berkata, projek berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu mesti menjadi model yang menitikberatkan aspek kemanusiaan, kemampanan serta kesejahteraan komuniti.
"Sebab itu saya minta Menteri Besar, Menteri Pengangkutan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pendidikan serta kementerian berkaitan lain, kaji semula semua aspek ini.
"Walaupun sudah dirangka, apakah boleh kita baiki lagi. Kalau dapat diperhalusi, Ipoh Sentral boleh dijadikan model pembangunan terbaik dan jadi contoh dalam negara. Saya akan turut bangga dengan perkara itu," ujarnya.
Projek yang dilaksanakan dalam dua fasa itu akan merangkumi pembinaan taman awam mercu tanda di Regat Tun Perak, masjid baharu, integrasi rumah ibadat sedia ada, serta pembangunan bercampur melibatkan pangsapuri servis, ruang pejabat, niaga, hotel dan kemudahan komuniti.
Apabila siap, ia dijangka mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi Perak.
Comments