Kempen Pemilihan KEADILAN beri tawaran, bukan retorik - Saifuddin Shafi
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyeru semua pihak yang bertanding dalam Pemilihan KEADILAN 2025 agar menumpukan kepada kempen yang menyampaikan tawaran dan visi yang membina.
Saifuddin Shafi Muhammad menerusi satu kenyataan menegaskan bahawa kempen seharusnya berlangsung dalam suasana sihat dan dengan penjelasan diberikan kepada anggota mengenai perancangan dan sumbangan yang ingin dibawa untuk tempoh tiga tahun akan datang.
"Saya bertanding bersama 82 calon lain. Fokus kami adalah untuk menjelaskan kepada anggota apa yang mampu kami tawarkan.
"Namun, media kini dipenuhi dengan naratif yang menggambarkan parti seolah-olah berpecah dan menuju kehancuran. Hakikatnya, itu tidak benar," katanya.
Beliau mengulas sorotan media kepada perjalanan pemilihan parti itu yang menyaksikan pertembungan sengit bagi jawatan timbalan presiden.
Dalam pada itu menurut Saifuddin, perbezaan pendapat pada setiap kali musim pemilihan merupakan perkara biasa, namun sesetengah isu berbangkit seharusnya diselesaikan menerusi saluran sepatutnya.
"(Sebenarnya) akar umbi parti kekal kukuh dan matang, ia dapat dinilai pada setiap perhimpunan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan semangat kekeluargaan.
"Mereka mendengar visi yang diketengahkan, meneliti setiap tawaran dan saling menyokong antara satu sama lain. Inilah keindahan Pemilihan KEADILAN yang telah saya ikuti lima kali.
"Insya-Allah, saya yakin anggota akan membuat pilihan terbaik pada hari Jumaat nanti. Tiada kemenangan yang dijamin, namun semua pihak sedang berusaha berkempen sebaiknya," tambahnya.