
Kempen MYSaveFood yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di 43 lokasi pasar Ramadan disifatkan sangat berjaya.
Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata setakat semalam hampir 20 tan makanan berjaya diselamatkan daripada dibazirkan.
Lebih membanggakan katanya, makanan yang dikumpul dalam program MYSaveFood di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Bandar Baru Merlimau berjaya diagihkan kepada golongan sasar yang memerlukan termasuk 100 orang pelajar di Politeknik Merlimau (PMM).
"Inisiatif mengelakkan pembaziran makanan di Bazar Ramadan sepanjang Bulan Ramadan turut mendapat dokongan dan kerjasama dari MARDI untuk dilaksanakan di seluruh Malaysia.
"Seawal jam 4.00 petang, sukarelawan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) memberikan advokasi kepada peniaga- peniaga bazar berkenaan dengan pengumpulan lebihan juadah yang tidak terjual dan makanan ini dikumpulkan selepas waktu berbuka puasa.
"Makanan tersebut seterusnya diasing dan ditimbang bagi tujuan rekod sebelum diagihkan kepada golongan sasar," jelasnya selepas turun padang melihat sendiri operasinya kempen itu.
Sementara itu, Fuziah juga berkata pihak KPDN turut menjalankan kempen meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengelakkan pembaziran.
Untuk itu jelasnya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Melaka (SWCorp) turut mengadakan taklimat berkaitan pengguna dan alam sekitar.
"Taklimat ini bertujuan untuk memberi kesedaran bagi mengelakkan pembaziran makanan dan menambah ilmu kepenggunaan
daripada pihak SWCorp bagi menjana kreativiti serta inovasi dalam menggunakan peluang yang ada untuk memelihara alam sekitar.
"Seramai 117 peserta taklimat terdiri daripada Gerakan Pengguna Daerah Jasin, Gerakan Pengguna Siswa dan Pelajar daripada Politeknik Merlimau terlibat dalam program ini," katanya.
Sementara itu, Fuziah dipetik laporan media selepas program padang tersebut berkata pihaknya bercadang untuk meneruskan kempen itu ke kawasan pasar malam seluruh negara selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Kita lihat program MYSaveFood ini amat berjaya dan kita sudah ada prosedur operasi standard (SOP), tool kit jadi selepas ini ia akan dipanjangkan pula ke pasar malam dengan kerjasama persatuan-persatuan peniaga.
"Kita akan libatkan juga Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di bawah KPDN yang boleh manfaatkan makanan elok yang berlebihan daripada pasar malam selepas hari raya nanti," katanya dipetik.