Kempen kurang gula, beri kesedaran semua peringkat usia - Dr Zaliha


Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi bayangan untuk melaksanakan Pelan Advokasi Mengurangkan Gula bagi mengurangkan kebergantungan yang tinggi rakyat Malaysia terhadap bahan pemanis berkenaan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, trend penggunaan gula yang semakin membimbangkan itu akan ditangani melalui kaedah kempen kesedaran melibatkan semua pihak tanpa mengira usia.
"KKM akan melancarkan Pelan Advokasi Gula sebagai satu usaha untuk menanggani penyakit tidak berjangkit iaitu diabetes.
"Pelan tersebut (meliputi) semua peringkat umur dan dimulai kalangan kanak-kanak di sekolah, IPTA (pengajian tinggi awam) dan IPTS (pengajian tinggi swasta) serta golongan dewasa," katanya menerusi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kucing) mengenai langkah KKM untuk mengurangkan penggunaan gula yang semakin membimbangkan.
Terdahulu, Dr Zaliha memaklumkan sebanyak RM RM9.65 bilion telah dibelanjakan bagi menangani penyakit tidak berjangkit
(NCD).
Jelasnya, jumlah perbelanjaan untuk rawatan diabetes sahaja mencecah RM4.38 bilion atau 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan dalam rawatan penyakit NCD.
"Ini dikuti rawatan penyakit kardiovaskular dengan sejumlah RM3.93 bilion atau 40.73 peratus dan RM1.34 bilion atau 13.89 peratus bagi rawatan kanser," ujarnya lagi.




Comments