top of page

Kempen Kesedaran Nasional Antibuli: Fahmi sokong hasrat Agong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 18
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Komunikasi komited menyokong hasrat Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim melalui pelaksanaan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli dilakukan secara menyeluruh menerusi televisyen, radio, media sosial dan platform digital.


Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, selain itu pihaknya juga komited untuk melaksanakan tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej antibuli sampai kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu seperti mana hasrat Sultan Ibrahim.


''Kementerian turut komited untuk pengarusperdanaan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat.


''Titah Seri Paduka Baginda bertepatan dengan komitmen Kerajaan MADANI melalui pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk menangani isu buli dengan lebih tegas,'' katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama, Fahmi memaklumkan pihaknya menjunjung kasih atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerima beliau menghadap di Istana Negara hari ini.


''Patik juga menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung keperluan membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.


''Titah Baginda memberi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan,'' kata Fahmi.


Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media, untuk bersama-sama berganding bahu membanteras gejala buli.


Katanya, hanya melalui kesepakatan menyeluruh mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang.


Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami kanak-kanak dan remaja, selaras dengan hasrat Seri Paduka Baginda agar generasi muda memahami erti hormat-menghormati dan mengamalkan nilai murni sejak kecil.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page