top of page

Kempen Kajang Bersih bentuk generasi muda bersih jiwa, sahsiah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Dr Taufiq (berbaju batik, tengah) bersama murid sekolah SMK Bandar Sungai Long menjayakan Kempen Kajang Bersih, Kajang di Hatiku baru baru ini
Dr Taufiq (berbaju batik, tengah) bersama murid sekolah SMK Bandar Sungai Long menjayakan Kempen Kajang Bersih, Kajang di Hatiku baru baru ini

Kempen Kajang Bersih, Kajang di Hatiku (KBKD) 6.0 bukan sekadar memberi penekanan terhadap kebersihan persekitaran, malah menjadi platform membentuk generasi muda yang bersih dari segi jiwa, pemikiran dan sahsiah.


Program bertemakan “Bersih Kendiri, Persekitaran Lestari MADANI” yang berlangsung di SMK Bandar Sungai Long baru baru ini menekankan bahawa amalan kebersihan perlu bermula daripada diri sendiri, termasuk aspek penjagaan hati, fikiran, sikap dan cara melayan orang lain.


Menurut satu kenyataan, program berkenaan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dengan penglibatan warga sekolah, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sukarelawan dan komuniti setempat.


Program yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Kajang, David Cheong itu juga menekankan persekitaran yang bersih akan mewujudkan suasana kehidupan yang aman, damai, sejahtera dan selesa, justeru kebersihan perlu menjadi tanggungjawab bersama.


"Program bertemakan ‘Bersih Kendiri, Persekitaran Lestari MADANI’ ini menekankan bahawa kebersihan perlu bermula daripada diri sendiri.


"Kebersihan kendiri bukan sekadar melibatkan penjagaan tubuh badan, tetapi turut merangkumi kebersihan hati, fikiran, sikap dan cara seseorang melayan orang lain," kata kenyataan tersebut.


Menurut kenyataan itu, penghayatan nilai berkenaan mampu melahirkan individu yang lebih baik serta membentuk masyarakat yang bersih, selamat, sihat dan harmoni.


Dalam pada itu, para pelajar turut diingatkan supaya menjauhi dadah dan kegiatan lumba haram atau merempit, selain bijak memilih rakan.


Tambah kenyataan itu, rakan yang baik ialah mereka yang berani menegur kesalahan, mengajak kepada ilmu dan mendorong seseorang melakukan kebaikan.


"Setiap pelajar perlu menjadi sahabat yang membawa pengaruh positif kepada orang lain kerana lingkungan persahabatan mampu membentuk masa depan seseorang," katanya.


Sempena Bulan Kebangsaan, para pelajar dan semua yang hadir turut diseru menghayati kemerdekaan melalui ilmu, disiplin, tanggungjawab dan perpaduan, selain menghormati kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.


KBKD merupakan kempen berterusan yang dimulakan sejak 2024 bagi memupuk kesedaran bahawa Kajang ialah rumah bersama yang perlu dijaga kebersihan, keselamatan dan keharmoniannya.


Sejak KBKD 1.0 hingga KBKD 5.0, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk plogging, gotong-royong, kitar semula dan penanaman pokok.


KBKD 6.0 mendapat sokongan 12 rakan kolaborasi, termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Penjara Kajang, Agensi Antidadah Kebangsaan Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang, KDEB Waste Management, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Universiti Selangor dan Universiti Islam Selangor.


Turut terlibat ialah Selangor Technical Skills Development Centre, Akademi Kenegaraan Malaysia dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page