
Kempen e-dagang Selangor sepanjang pandemik Covid 19 mulai 2020 lalu boleh dianggap berjaya dengan menghasilkan kesan ekonomi RM2.95 bilion kepada negeri dan RM144.7 juta jualan terus.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kempen dengan pelaburan Kerajaan Negeri sebanyak RM7 juta itu telah menarik 294,119 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk 74,837 peniaga baharu menyertainya.
"Kempen e-bazar Raya Selangor 2020 merekodkan kesan ekonomi RM341 juta dan nilai jualan RM11.7 juta. Diikuti e-Bazar 11.11 mencatatkan RM1.040 bilion manakala RM32.5 juta jualan terus.
"Sejumlah RM619 juta kesan ekonomi dan RM35.5 juta nilai jualan direkodkan pada kempen e-bazar Tahun Baharu Cina Selangor 2021 dan terbaharu e-bazar Raya Selangor mencatatkan RM954 juta manakala RM65 juta nilai jualan.
"Ini membolehkan ekonomi negeri terus bergerak sambil mewujudkan saluran penjualan alternatif agar perniagaan tempatan dapat bertahan terutama di bawah pelbagai sekatan akibat wabak Covid-19.
"Adalah diharapkan usaha pendigitalan dipergiatkan untuk memastikan agar tiada yang ketinggalan dalam arus pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang semakin giat berkembang,” kata Amrudin pada sidang media atas talian, semalam.
Menurut beliau, kempen jualan e-dagang itu dianggap sesuai menggantikan kaedah jualan secara konvensional terutama untuk peniaga kecil dan sederhana yang terjejas akibat penutupan pelbagai pasar malam, bazar dan kedai-kedai berikutan langkah memutuskan rantaian Covid 19 yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Menteri Besar juga mengumumkan merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya dua lagi kempen e-dagang pada tahun ini.
Katanya, pelaksanaannya bergantung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rancangan promosi jualan oleh Shopee dan Lazada, dua platform yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.
“Saya rasa untuk tahun ini paling kurang satu atau dua lagi kempen kita boleh laksanakan terutama ketika jualan penghujung tahun,” katanya lagi.
Kempen e-Bazar Raya Selangor dan e-Bazar 11.11 Selangor diadakan tahun lalu, manakala kempen e-Bazar Tahun Baharu Cina dan e-Bazar Raya Selangor pada tahun ini.