Kempen cara bijak, jangan main sentimen 3R sepanjang PRN Sabah
- Suara Keadilan
- 13 hours ago
- 1 min read

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan semua pihak tidak memainkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Tegasnya, pendekatan berkempen menggunakan isu 3R ialah strategi yang “memakan tuan” dan tidak sihat untuk demokrasi.
"Undang-undang masih berkuat kuasa walaupun dalam tempoh kempen pilihan raya.
"Sebarang aktiviti berkempen yang berasaskan isu 3R tidak dibenarkan. Berkempenlah dengan sihat, gunakan hujah dengan cerdik dan cerdas, kita tidak mahu tindakan yang merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat," katanya dipetik pada sidang media di Penampang.
Beliau sebelumnya diminta mengulas kecenderungan pihak tertentu yang menggunakan isu 3R dalam kempen melalui media sosial.
Sementara itu menurut Fahmi, kementerian bersama MCMC memandang serius semua aduan berkaitan isu 3R dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang sedia ada.
Tiga aduan direkodkan sepanjang PRN berkaitan penyebaran maklumat yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh PRN.





