Kempen Beli Barangan Malaysia catat jualan RM7.4 bilion, berjaya - Dr Fuziah
- Suara Keadilan
- 27 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyifatkan kejayaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang mencatat nilai jualan melebihi RM7.4 bilion bagi tahun 2024 sebagai bukti keberkesanan dasar Kerajaan Madani dalam memperkasa produk tempatan.
Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata peningkatan 13.6 peratus berbanding tahun 2023 itu hasil kerjasama strategik antara kerajaan, rangkaian pasar raya besar serta platform e-dagang utama negara.
"Peningkatan lebih enam kali ganda nilai unit penyimpanan stok (SKU) — daripada 1,003,765 pada 2023 kepada 6,333,529 pada 2024 — membuktikan bahawa akses pasaran produk tempatan semakin meluas.
"Perkembangan positif itu seiring usaha kerajaan memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta memperkukuh rantaian pengedaran dalam ekosistem runcit moden dan platform digital," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan tersebut menyusul majlis pelancaran inisiatif kerjasama KBBM bersama Lotus’s Malaysia di Shah Alam pada Khamis.
KPDN sementara itu menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasa agenda pemartabatan produk tempatan menerusi kerjasama dengan 18 rangkaian pasar raya besar dan tiga platform e-dagang utama negara.
Dalam masa sama akan terus menyokong usahawan tempatan dengan memperluas akses bimbingan, pensijilan dan fasilitasi pasaran kepada PMKS.
"Justeru, kementerian menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memilih produk tempatan sebagai pilihan utama.
"Setiap pembelian produk tempatan adalah pelaburan langsung kepada ekonomi negara — menyokong kelangsungan perniagaan usahawan tempatan, membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh daya tahan ekonomi masyarakat," tambah Fuziah.





