top of page

Kempen "Aku Bersama KEADILAN” digerakkan, pertahan kepimpinan PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Putrajaya, Mohd Hafiz Osman menegaskan beliau terus kekal bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KEADILAN demi mempertahankan agenda reformasi serta memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.


Menurut beliau, perjuangan KEADILAN tidak boleh digugat hanya kerana tindakan beberapa pemimpin yang memilih meninggalkan parti susulan pengumuman bekas Timbalan Presiden, Rafizi Ramli yang meninggalkan parti dan mengambil alih kepimpinan Parti Bersama Malaysia kelmarin.


Mohd Hafiz berkata, demi perjuangan rakyat dan masa depan negara, KEADILAN Putrajaya akan terus teguh bersama kepimpinan kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri.


"Ketua Penerangan KEADILAN Putrajaya akan terus teguh bersama parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim demi membawa agenda reformasi, kestabilan dan kesejahteraan untuk semua rakyat.


"KEADILAN akan terus menjadi suara rakyat dan Putrajaya akan terus melangkah ke hadapan dengan semangat perjuangan yang utuh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Hafiz turut memaklumkan bahawa pihaknya kini menggerakkan kempen “Aku Bersama KEADILAN” sebagai simbol kesetiaan ahli akar umbi terhadap perjuangan parti serta sokongan berterusan kepada Kerajaan MADANI.


Walaupun terdapat beberapa peletakan jawatan pemimpin di peringkat cabang termasuk di Putrajaya sejak dua hari lalu, jentera parti di peringkat akar umbi tetap stabil dan komited meneruskan perjuangan reformasi, katanya.


Mohd Hafiz turut menegaskan bahawa Cabang KEADILAN Putrajaya perlu menjadi contoh kepada budaya politik matang, progresif dan bertanggungjawab dalam mempertahankan dasar reformasi negara.


"Penerangan menggunakan tagline ‘Putrajaya Jalan Terus’ yang membawa maksud kami tetap bersama Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan PM Anwar Ibrahim dengan prinsip yang jelas," katanya lagi.


Perkembangan itu berlaku ketika landskap politik negara kembali hangat susulan tindakan Rafizi mengumumkan pengunduran beliau daripada KEADILAN dan mengambil alih kepimpinan Bersama, yang turut mencetuskan gelombang peletakan jawatan beberapa anggota di seluruh negara.


Tegas Mohd Hafiz, KEADILAN Putrajaya akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip perjuangan reformasi demi rakyat tanpa tunduk kepada tekanan, fitnah mahupun percaturan politik sempit.


"Kami percaya politik yang matang bukan dibina atas kebencian, tetapi atas keikhlasan berkhidmat, keberanian membawa suara rakyat serta komitmen memperkukuh kestabilan negara.


"Selagi amanah rakyat menjadi keutamaan, penerangan Putrajaya akan terus bergerak seiring kepimpinan parti demi memastikan agenda kebajikan, perpaduan Putrajaya dapat diteruskan dengan penuh integriti dan tanggungjawab," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page