Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Ekonomi memaklumkan kadar kemiskinan tegar negara kini mencatatkan penurunan kepada 0.2 % atau hanya 18,445 isi rumah.
Menterinya Rafizi Ramli berkata, hasil Survei Pendapatan Isi Rumah (HIES) itu memperlihatkan penurunan berbanding 1% pada 2020.
Walau bagaimanapun, katanya, keadaan tidak sama di Sabah apabila kadar miskin tegar adalah pada 1.2% atau enam kali ganda daripada kadar nasional.
"Berikut adalah insiden kemiskinan tegar tertinggi mengikut lapan daerah antaranya Tongod (5.8%), Beluran (5%), Pitas (4.8), Kinabatangan (4.6%), Kota Marudu (4%), Tuaran (2.6%), Ranau (2.4%) dan Lahad Datu (2.4%)," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal (Warisan-Semporna) berkenaan statistik miskin tegar di Sabah dan usaha kerajaan membasmi golongan berkenaan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, inisiatif Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka mampu melaksanakan anjakan besar melalui pensasaran pemberian bantuan secara terus kepada setiap isi rumah tanpa memerlukan golongan kurang berkemampuan itu mencari bantuan.
"Kita tidak boleh bergantung kaedah lama, menunggu orang kurang berkemampuan datang kepada kita," ujarnya.
Sementara itu Rafizi berkata, Program Usahawan Tani (INTAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kementerian Ekonomi memberi tumpuan di lapan daerah termiskin Sabah sejak tahun lalu.
"Setakat ini IPR Intan di Sabah melibatkan 390 keluarga miskin tegar telah mendapat tanah berkeluasan 504 ekar di lapan daerah bagi tanaman cili, jagung, kacang soya dan sebagainya.
"Kalau melihat prestasi IPR Intan pendapatan tuaian pusingan pertama adalah sekitar RM2,200 hingga RM5,600 sebulan (setiap peserta)," katanya.
Jelas beliau, sekiranya kejayaan itu berterusan setiap peserta dijangka akan keluar daripada kategori miskin tegar dalam tempoh dua tahun.
Comments