Kerajaan akan beralih kepada pengukuran kemiskinan lebih bermakna berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai asas dalam mengenal pasti kumpulan sasar untuk menyalurkan bantuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata konsep NDI akan mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang merujuk kepada kos keperluan hidup sekali gus dapat mengurangkan ralat keciciran di samping bersifat lebih adil.
"PAKW merujuk kepada kos keperluan hidup untuk menjalani kehidupan bermaruah dan bermakna (decent living) meliputi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti dan pengangkutan serta berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah," katanya ketika berucap pada Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di sini hari ini.
Simposium bertemakan “Bersama, Berdaya dan Mampan” itu menggariskan lima ikhtiar iaitu memantapkan pengukuran, mereformasi dana menoktah kemiskinan, menyatupadukan data, merubah sikap dan pemikiran serta memperkukuh tenggang menoktah kemiskinan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan Jemaah Menteri akan memberi perhatian serius terhadap dapatan dan input yang dikumpulkan dalam simposium berkenaan.
"Saya boleh beri jaminan kalau ini (rumusan daripada simposium) disiapkan, Jemaah Menteri akan mengambil kira pandangan ini dengan cara yang paling serius," katanya.
Anwar berkata kerajaan juga komited untuk meneruskan reformasi fiskal sebagai sebahagian daripada langkah untuk menstruktur semula ekonomi ke arah kemampanan.
Jelas beliau perkara itu termasuk merombak struktur subsidi menyeluruh kepada subsidi dan bantuan yang lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan.
Anwar dalam ucapannya turut memberi gambaran bahawa dalam Belanjawan 2025 nanti, kerajaan akan memberhentikan subsidi kepada golongan kaya bagi membolehkan peruntukan yang ada disalurkan untuk membantu rakyat miskin.
"Bentuk ketirisan, termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains yang dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan, harus dihentikan," katanya.
Anwar berkata, beliau sedar beberapa tindakan yang diambil kerajaan pimpinannya tidak popular bagi sesetengah pihak, namun ia perlu dilakukan demi kesejahteraan golongan yang memerlukan.
Perdana Menteri berkata kebergantungan kepada dana daripada kerajaan semata-mata boleh menjejaskan kemampanan program kemiskinan dan mengakibatkan tekanan fisikal kepada kerajaan.
"Bagi mengatasi cabaran ini, kita perlu menggembleng lebih banyak lagi kaedah pembiayaan berinovatif seperti dana impak sosial, perkongsian awam-swasta dan pembiayaan campuran," katanya.
Selain itu, PM turut berkata, kerajaan perlu menyepadukan data termasuk di peringkat negeri untuk menjadi rujukan kepada program membantu golongan miskin.
"Sumber-sumber data ini kemudian akan turut diintegrasi kepada Pangkalan Data Utama (PADU) yang saya luncurkan pada awal Januari lepas supaya hasrat kerajaan untuk membangunkan repositori data rujukan tunggal kerajaan dalam pelaksanaan program menoktah kemiskinan serta pelbagai program sosioekonomi dapat direalisasikan.
"Oleh itu pada 2025, kerajaan menyasarkan pengunaan PADU sebagai asas dalam penentuan kelayakan dan pemberian bantuan, sekali gus menyokong inisiatif membuat keputusan berasaskan data," katanya dalam kenyataan mengenai lima ikhtiar nokhtarkan kemiskinan yang dikongsikan oleh Pejabat Perdana Menteri.
Anwar menegaskan, ikhtiar juga perlu dilakukan untuk mengubah sikap dan pemikiran. Dengan memetik karya Za'aba, beliau berkata kemiskinan bukan semata-mata pada wang ringgit dan harta tetapi juga miskin pada hemah, dan cita-cita.
Katanya, masyarakat perlu memahami dan mendalami sikap dan tingkah laku kumpulan sasar dalam merangka program untuk membebaskan sesebuah komuniti atau individu daripada belenggu kemiskinan.
"Jangan kita menjadi seperti peribahasa “sudah terhantuk, baru terngadah."
"Perspektif menoktah kemiskinan juga perlu melihat kepada aspek pencegahan kemiskinan dalam usia emas.
"Adalah penting untuk menggalakkan penggunaan tabungan yang bijak dan merancang simpanan sejak awal hayat. Kita juga perlu meletakkan ikhtiar supaya warga emas boleh terus produktif dan mandiri tanpa mengharapkan bantuan," katanya lagi.
Commentaires