Di tengah kemeriahan suasana menyambut Hari Raya Aidiladha berikutan cuti panjang sehingga hujung minggu ini rakyat diingatkan agar berjaga jaga dan mengambil tanggungjawab untuk tidak merebakkan virus Covid 19.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, meskipun Covid 19 telah memasuki fasa endemik dan tidak lagi merbahaya namun sesiapa yang mempunyai simptom tidak seharusnya ikut berhari raya bersama individu lain yang sihat.
"Mereka perlu alert, kalau ada simptom perlu buat ujian. Kalau dijangkiti mereka perlu asingkan diri. Ini proses yang perlu mereka fahami dan diikuti semua orang
"Tak guna untuk menafikan keadaan kesihatan sendiri. Sesiapa yang ada simtom sila dapatkan saringan.
"Disiplin ini perlu selalu kita ikuti supaya tidak merebakkan varian baru Covid dari proses mutasi dan sebagainya," kata Amirudin ketika ditanya pemberita menghadiri majlis korban di sebuah masjid di Sungai Tua, Gombak.
Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, meskipun tiada lagi Prosedur Operasi Piawai (SOP) dikenakan kepada rakyat di kawasan awam atau persendirian namun langkah berhati hati dan sering memeriksa kesihatan diri amatlah digalakkan.
"Ini bukan SOP, saya rasa yang penting adalah kefahaman semua. Kalau anda tidak sihat, sakit tekak, demam maka buat ujian. kalau positif asingkan diri.
"Tengok kadar oksiden. Itu perlu faham, macam kita selsema maka dapatkan ubat, itu sahaja," katanya lagi.
Hari Raya Aidiladha tahun ini meriah berbanding sebelumnya kerana disambut pada hari Khamis dan di negeri yang cuti mingguan bermula Jumaat maka sambutan hari raya mungkin sama meriah dengan sambutan Aidilfitri.
Oleh itu, rakyat dinasihatkan lebih berhati hati sepanjang cuti Aidiladha kali ini.
* Kredit foto Selangorkini
Comments