Kemerdekaan Sarawak: Penghargaan kepada sejarah, kedaulatan wilayah
- Suara Keadilan
- Jul 22
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Generasi muda di Sarawak diseru untuk menghargai perjuangan dan sejarah di negeri sendiri, sekali gus menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan rasa bangga.
Seruan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) sempena sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak yang disambut pada hari ini.
Katanya, pembangunan Sarawak moden tidak seharusnya menyebabkan rakyat melupakan sejarah sendiri.
''Sarawak merupakan sebuah wilayah yang kaya dengan budaya, sumber asli dan semangat perpaduan.
''Maka, hari ini bukan sahaja untuk merayakan kemerdekaannya tetapi juga untuk menginsafi perjalanan kita dalam menuntut keadilan, autonomi, dan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),'' ujar Abun dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak bagaimanapun berkata, dalam usia Sarawak meniti 62 tahun, rakyat mendapati pembangunan di negeri itu masih belum seimbang antara kawasan bandar dan pedalaman.
Katanya, kawasan pedalaman tidak berkembang seiring kawasan pesisir Sarawak lebih maju.
''Begitu juga pentadbiran Kerajaan terutamanya peringkat pengurusan dan kuasa politik tidak seimbang di mana bangsa tertentu sahaja layak menguasai tampuk pemerintahan dan pentadbiran.
''Adakah keadaan ini diatur atau berlaku secara sendiri? Saya doakan agar Sarawak terus maju jaya dalam kerangka Malaysia yang adil dan saksama.
''Semoga semangat 22 Julai terus membakar semangat patriotisme anak-anak bumi Kenyalang kepada wilayah ini dan kepada Malaysia,'' katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Sarawak kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama, suku kaum atau latar belakang.
Untuk rekod pada tanggal 22 Julai 1963, kuasa pemerintahan diserahkan daripada kerajaan kolonial British kepada rakyat Sarawak melalui pembentukan kerajaan dan pemerintahan sendiri. Hal itu merupakan satu langkah penting ke arah penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
Kerajaan Negeri Sarawak kemudiannya mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak dan menggazetkannya secara rasmi.
Comments