Konsep pertanian bandar atau urban farming yang bakal diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disambut baik oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.
Menurut Dr Zaliha, pengumuman Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu itu tepat pada masanya pada ketika rakyat menghadapi masalah kenaikan kos bahan makanan.
"Ini sudah tentunya dalam usaha untuk memperkasakan usahawan yang berminat dalam bidang pertanian dan makanan. Ini satu usaha yang baik.
"Kita di Wilayah Persekutuan sudah tentunya terlibat dalam beberapa Pihak Berkuasa Tempatan; Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.
"Kita juga menyahut dan menerima baik usaha yang dilakukan Mat Sabu, iaitu di dalam pertanian bandar," katanya dalam satu siaran media.
Tambah Dr Zaliha, Kementeriannya turut sedang dalam kerangka untuk melaksanakan polisi serupa dengan memperkenalkan konsep 'Satu Komuniti, Satu Kebun' yang boleh dilakukan secara bersama dengan KPKM.
"InshaAllah kita ada polisi akan dilaksnakaan di Wilayah dalam usaha urban farming. Satu polisi yang kita sedang cuba implement ialah Satu Komuniti, Satu Kebun," katanya lagi.
Baru baru ini Mohamad Sabu mengumumkan Malaysia akan melaksanakan konsep pertanian bandar khusus untuk mewujudkan ladang pertanian di tengah tengah kota besar yang berintegrasi dengan bangunan sekeliling.
Konsep tersebut, katanya telah berjaya dilaksanakan di Singapura yang tidak mempunyai tanah sesuai untuk dibuat ladang sayur sayuran konvensional.
コメント