Kementerian Pertanian perkukuh jaminan makanan, 220 projek dilaksana
- Suara Keadilan
- Jun 21
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM300 juta melalui Bajet 2025 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan sektor pertanian, ternakan, perikanan, agro-pelancongan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, sebanyak 220 projek sudah dilaksana bagi tahun 2024 dan 2025.
Menerusi satu kenyataan kementerian itu berkata, projek dilaksanakan termasuk program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah serta program pembangunan kapasiti peladang, nelayan dan penternak yang dilaksana dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
"Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem agromakanan negara secara menyeluruh, melibatkan tanah-tanah di bawah bidang kuasa bersama antara Kerajaan Negeri dan KPKM," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu sebagai mengulas butiran Mesyuarat bersama Exco-Exco Pertanian Negeri dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelumnya.
Menurut KPKM, mesyuarat tersebut turut membincangkan cadangan memperkemas pengurusan kawasan ‘grey area’ di jelapang padi dengan menyerahkan aset yang tidak jelas pemilikannya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri atau daerah.
Langkah ini bertujuan memastikan pengoperasian sistem pengairan sawah padi dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
"Cadangan ini dijangka menyelesaikan isu pertindihan tanggungjawab antara IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) dan JPS serta meningkatkan hasil pengeluaran padi negara," jelasnya.
Mesyuarat juga membincangkan cadangan penyerahan rasmi 51 kompleks Ladang Satelit Nasional (LSN) yang dibina oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik Kerajaan Negeri di Negeri Sembilan, Johor dan Perak.
Comments