
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersetuju untuk menambah 10 lagi outlet pasar tani untuk Jualan Khas Syawal Madani.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pasar tani itu sebagai tambahan kepada 103 outlet di bawah kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diumumkan sebelum ini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan banjir kepada golongan petani dalam kawasan Parlimen Sri Gading dekat Batu Pahat semalam, beliau berkata keputusan menambah outlet itu susulan permintaan ramai.
Selain itu, ia selaras hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan KPKM memastikan bekalan barangan mencukupi bagi Ramadan dan Syawal ini.
"FAMA juga akan cuba untuk cukupkan barang (keperluan) termasuk ikan, sayur, minyak masak dan barangan utama lain," katanya.
Jualan Khas Syawal Madani merupakan salah satu usaha FAMA bagi meningkatkan jualan, dan memasarkan hasil pertanian.
Kempen tersebut akan berlangsung selama enam hari bermula Sabtu ini hingga 20 April memfokuskan kepada jualan barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri pada harga yang berpatutan.
Dalam pada itu, Mohamad turut berkata kementeriannya dan FAMA juga akan memastikan bekalan 30 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) mencukupi buat pengguna.
Beliau sebelum ini telah mengarahkan agar isu kekurangan bekalan ayam di beberapa tempat diselesai segera bagi memastikan persiapan Aidilfitri tidak terjejas.
留言