top of page

Kementerian Pertanian akan mohon dana tambahan hadapi El Nino ekstrem

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 1 min read
DS Mohamad ditemuramah Astro Prima menerusi Borak Seni di Dewan D pada Pameran MAHA 2026
DS Mohamad ditemuramah Astro Prima menerusi Borak Seni di Dewan D pada Pameran MAHA 2026

Kerajaan akan meneruskan program subsidi bagi sektor agromakanan, namun pelaksanaannya akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sektor tertentu seperti sawah padi serta perikanan masih memerlukan sokongan kerajaan untuk memastikan kelangsungan pengeluaran dan menjamin pendapatan golongan terbabit.


"Program subsidi masih diteruskan, kerana jurang penghasilannya tidak lagi seimbang kalau tidak dibantu. Cuma kita kena lihat dari semasa ke semasa.


"Kalau ada yang kita nampak boleh berdikari, tidak perlu subsidi, kita akan hentikan. Itu langkah yang kita ambil sekarang ini," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu pada sidang media Majlis Perasmian MAHA Trade Days, di Serdang pada Selasa.


Dalam perkembangan berkaitan Mohamad memaklumkan, KPKM memohon peruntukan tambahan menerusi Belanjawan 2027 bagi menghadapi kemungkinan fenomena El Nino yang dijangka lebih serius tahun depan.


Peruntukan itu jelasnya bagi memastikan sektor agromakanan negara bersedia menghadapi kemarau dan peningkatan suhu yang boleh menjejaskan tanaman.


"Belanjawan kali ini kita minta kerajaan bersedia untuk berikan peruntukan tambahan untuk bersedia menghadapi kemarau, haba yang tidak menentu.


"Kemungkinan kita perlu baja dan alat-alat ketahanan kepada pokok dan sebagainya yang memerlukan belanja tambahan," jelasnya.


Menurut Mohamad, beliau bersama Ketua Setiausaha (KSU) kementerian sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan II bagi membincangkan keperluan peruntukan tersebut.


Tambahnya, perbincangan masih berjalan dan perinciannya masih boleh dipinda sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page