Kementerian perkenal sistem DRG kawal kos pembiayaan kesihatan
- Suara Keadilan

- Oct 13
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pelaksanaan sistem bayaran Kelompok Berkaitan Diagnosis (DRG) merupakan langkah penting dalam reformasi pembiayaan kesihatan berasaskan kejayaan negara luar, sekali gus berpotensi membantu mengawal inflasi kos perubatan dan kesihatan di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar), dalam pada itu memaklumkan bahawa sektor kesihatan khususnya swasta mengalami trend berdepan peningkatan kos perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.
''DRG merupakan pengkelasan bagi rawatan perubatan yang membolehkan pembayaran lebih seragam. Amalan pembayaran pada masa ini menggunakan fi untuk perkhidmatan di mana di pihak swasta apabila mereka menggunakan bayaran itu, ianya adalah fi untuk perkhidmatan.
''Tanpa DRG, seperti mana amalan buat masa ini, pembayaran fi kepada doktor dan prosedur diseragamkan, namun caj yang lain tidak dikawal selia.
''Justeru, pengenalan DRG ini akan membantu untuk menangani inflasi perubatan atau kenaikan pengenaan caj yang berlebihan,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin mengetahui pertimbangan dan cabaran utama yang dihadapi dalam usaha melaksanakan sistem bayaran DRG di sektor kesihatan swasta, memandangkan sistem itu telah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa bagi tujuan kawalan kos, ketelusan dan penyeragaman.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Dzulkefly berkata penyeragaman harga melalui pelaksanaan sistem DRG turut membantu kerajaan beralih kepada model penjagaan kesihatan yang berfokuskan hasil dan keberkesanan untuk rakyat.
Ujar beliau, aspek pelaksanaan sistem DRG perlu ditangani dengan berkesan bagi memastikan keberhasilan inisiatif ini dalam memperkukuh sistem pembiayaan kesihatan negara.
''Cabaran yang sedang diatasi KKM termasuk antara lainnya ialah tentang garis masa yang singkat. Kita mahukan DRG dilaksanakan segera dan berkesan, namun rakyat memerlukan penyelesaian berkaitan kos rawatan yang tinggi.
''Cabaran kedua pula adalah kepentingan data untuk DRG. Kita memerlukan data kerana penyeragaman rawatan pesakit adalah berdasarkan kepada data rawatan yang sebenar seperti mana data itu datang daripada semua pengamal-pengamal perubatan swasta.
''Justeru perkongsian data sebenar rawatan amat penting dalam menentukan kadar pembayaran yang kurang lebih dipanggil seimbang (median), bukan sahaja purata tapi mempunyai penyeragaman dan pematuhan kepada piawaian standard,'' katanya lagi.









Comments