Kementerian Pengangkutan bakal perkenal perkhidmatan van transit
- Suara Keadilan

- Dec 18, 2023
- 1 min read

Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) bakal diperkenal di Lembah Klang sebagai pengangkutan alternatif.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha memperkasakan kesalinghubungan pengangkutan awam di kawasan batuan pertama dan terakhir yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan bas awam.
Beliau berkata sebahagian peruntukan RM50 juta bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah Belanjawan 2024 akan digunakan untuk membeli van dan pengoperasiannya akan diselia oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan perincian mengenai pelaksanaan inisiatif itu akan diumumkan tidak lama lagi.
"Van ini sebagai usaha menyelesaikan isu pengguna batuan pertama dan batuan terakhir... kita faham tak semua kawasan perumahan ada laluan bas.
"Konsepnya seperti e-hailing. Perkhidmatan itu tiada laluan khas, namun kita akan tempatkan di kawasan yang strategik," katanya dipetik.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata begitu dalam satu sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, MOT jelasnya berhasrat agar Prasarana menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan DRT untuk memperluaskan perkhidmatan berkenaan.
Sementara itu Loke berkata, MOT dijangka membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33) berhubung kesalahan memandu di lorong bas pada tahun hadapan sebagai langkah meningkatkan keberkesanan lorong itu serta mengelakkan laluan khas itu terus disalahgunakan pengguna jalan raya lain.
Pindaan itu jelasnya akan membolehkan pegawai penguat kuasa mengeluarkan kompaun berdasarkan kesalahan yang dirakam kamera pemantauan.









Comments