Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mengambil 9,500 orang guru baru pada November ini
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut sebagai satu usaha dilakukan kerajaan bagi mengatasi isu kekurangan guru.
Pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani@KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh pada Sabtu, beliau turut memaklumkan proses temuduga telah selesai dan penempatan segera guru baru akan dibuat.
"Isu kekurangan guru berlaku bila ada persaraan dan berhenti, kita akan cepat-cepat ganti. Sebab itu kekurangan ini bersifat sementara dan proses dapatkan guru dilaksanakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) segera mungkin bagi memastikan kekosongan itu bersifat sementara," katanya.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai kerja penyelenggaraan tandas sekolah di bawah kementerian itu, Fadhlina berkata, setakat ini ia sudah 90 peratus selesai.
"Projek dipantau oleh Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) , saya dimaklumkan sudah 90 peratus siap.
"Kita jangka hujung Oktober akan dapat kenal pasti angka secara tepat, sekarang semua sedang berjalan. Alhamdulillah ada juga yang telah siap dilaksanakan," katanya.
Pada Julai lepas, KPM dilaporkan memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah seluruh negara untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar menerusi peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah.
Comments