top of page

Kementerian Luar Negeri jelaskan isu 'kerusi Sanusi'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 1, 2023
  • 2 min read


Oleh: Noraini Nordin


Kementerian Luar Negeri menjelaskan, isu ketiadaan kerusi yang kononnya dialami oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di Alor Setar baru-baru ini adalah kerana beliau tidak dijemput dalam mesyuarat tersebut.


Siaran Akhbar Kementerian Luar Negeri yang bertarikh 1 Disember 2023 itu juga menjelaskan bahawa Menteri Besar Kedah tersebut tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council yang diadakan sebelum bermula lawatan kerja Anwar ke Sadao, Thailand.


"Sebaliknya, Sanusi hanya dijemput menyertai program lawatan rasmi Anwar bersama Perdana Menteri Thailand ke ICQS Bukit Kayu Hitam pada 2.15 petang 27 Disember," kata kenyataan itu.


Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya menjelaskan, jemputan yang dibuat kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah melalui surat bertarikh 25 November 2023 hanya menyebut untuk beliau menyertai lawatan ke ICQs Bukit Kayu Hitam.


"Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri dan surat bertarikh 25 November 2023 tidak menyebut tentang mesyuarat pre-council itu," tambah kenyataan tersebut.


Namun menurut Kementerian Luar, apabila Sanusi mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat pre-council tersebut, PM telah meminta disediakan kerusi untuk Menteri Besar Kedah itu.


Kementerian Luar Negeri juga menjelaskan, Menteri Besar Kedah sebenarnya tidak terlibat dalam lawatan rasmi Anwar ke Sadao, Thailand.


"Tetapi bagi memenuhi permintaan Sanusi di saat akhir, Perdana Menteri telah bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi dalam lawatan ke Sadao itu," kata Kementerian Luar.


Kementerian Luar Negeri menegaskan, kenyataan tersebut dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenarnya iaitu Kementerian

Luar Negeri dan Perdana Menteri telah memberikan pertimbangan khas kepada Menteri Besar Kedah.


Ketika Sidang DUN Kedah baru-baru ini, Sanusi mendakwa beliau tidak diberikan kerusi ketika mesyuarat di sebuah hotel Alor Setar sebelum bermulanya lawatan rasmi Perdana Menteri ke Sadao, Thailand.


Sanusi membangkitkan perkara itu sebagai cubaan pihak-pihak tertentu yang didakwanya cuba mengeruhkan hubungan beliau dengan Anwar.

留言


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page