Kementerian Komunikasi perkenal insentif rebat kewangan acara skala besar
- Suara Keadilan
- Apr 19
- 2 min read

Kementerian Komunikasi memperkenalkan Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI), satu insentif kewangan berupa rebat kepada penganjur konsert dan acara berskala besar di Malaysia.
Menterinya Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, peruntukan sebanyak RM10 juta diperuntukkan setahun disediakan di bawah inisiatif itu yang akan berkuatkuasa 15 Mei depan.
"Program dikendalikan MyCreative Ventures (MyCV) dengan sokongan Kementerian Komunikasi.
"Ia akan memberi tumpuan kepada penganjuran konsert dan acara berimpak tinggi khususnya melibatkan kapasiti melebihi 15,000 penonton dengan penglibatan artis tempatan dan antarabangsa," katanya dipetik.
Fahmi sebelumnya hadir ke Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa syarat utama yang perlu dipatuhi penganjur bagi melayakkan mereka mendapatkan insentif itu termasuk perlu mempunyai pengalaman dalam acara berskala besar berkapasiti 15,000 orang dalam tempoh tiga tahun dari tarikh permohonan.
"Bagi pembiayaan artis antarabangsa, penganjur perlu membelanjakan minimum 20 peratus daripada jumlah Qualifying Malaysian Concert and Event Spend (QMCES) dengan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus rakyat Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1.5 juta (mana-mana yang lebih rendah).
"Perkara ini termasuklah akan diberikan bonus tambahan sebanyak RM100,000 untuk projek yang menggabungkan artis tempatan dan menjual tiket 60 peratus atau lebih, 30 hari sebelum tarikh projek.
"Kemudian barulah rebat itu akan disalurkan sepenuhnya selepas projek selesai dan laporan akhir diluluskan," katanya.
Sementara bagi pembiayaan artis tempatan pula jelasnya, penyaluran rebat adalah sama, namun penganjur perlu membelanjakan 70 peratus daripada jumlah QMCES di Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1 juta (mana-mana yang lebih rendah).
Bonus tambahan RM100,000 juga diberi kepada mana-mana penganjur yang mencapai jualan tiket 60 peratus atau lebih, 30 hari sebelum tarikh projek dengan 20 peratus daripada jumlah jualan tiket akhir merupakan pembeli antarabangsa.
Comments