Oleh: Abdullah Zaid
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia sebagai garis panduan agensi media demi memastikan sumber berita dan maklumat yang diyakini oleh rakyat.
Menerusi satu kenyataan, Kod Etika Wartawan Malaysia itu mengariskan lapan etika utama sebagai rujukan pengamal media ketika menjalankan tugas.
"Lapan etika tersebut adalah adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti; dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
"Selain itu, pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
"Dalam pada itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka, dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan," katanya.
Tambah kenyataan itu, Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen yang merupakan dokumen pengenalan diri pengamal media.
"Seiring dengan evolusi industri media, kod etika tersebut dikemas kini dan menjadi panduan oleh semua pemegang KPM JaPen dalam melaksanakan tugas demi mendukung pembentukan masyarakat yang berinformasi," ujarnya.
Untuk rekod, Kod Etika Wartawan Malaysia ini turut melibatkan Fakulti Komunikasi, Universiti Sains Malaysia dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Comments