Kementerian Kesihatan siapsiaga hadapi peningkatan kes Influenza
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kesiapsiagaan penuh dalam menghadapi peningkatan kes influenza.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, pihaknya akan melaksana langkah proaktif termasuk pengasingan laluan pesakit berjangkit dan tidak berjangkit di Jabatan Kecemasan (A&E), serta pengaktifan Pelan Bencana Hospital.
"Antara inisiatif penting ialah penyediaan zon bencana dengan tambahan katil dan mobilisasi petugas dalaman sekiranya berlaku lonjakan kes di luar jangka.
"Mobilisasi petugas secara dalaman juga disediakan sekiranya berlaku lonjakan kes luar jangka. Langkah ini adalah tindakan pre-emptive dan proaktif sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes secara mendadak," katanya dipetik dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.
Terdahulu ketika sesi pertanyaan di Dewan Rakyat beliau menjelaskan, penularan wabak Influenza A ketika ini banyak berlaku di institusi pendidikan dengan 83 peratus dilaporkan dikesan di sekolah dan tadika.
Justeru, beliau menekankan keperluan tanggungjawab bersama antara ibu bapa dan pihak sekolah bagi mengekang penularan jangkitan, dengan langkah utama ialah memastikan anak-anak bergejala tidak dihantar ke sekolah.
"Bagi mengekang penularan jangkitan ini, ibu bapa perlu pastikan anak tidak mempunyai gejala influenza sebelum dihantar ke sekolah. Kalau sudah bergejala, tolonglah jangan hantar juga anak ke sekolah," katanya.
Comments