Kementerian Kesihatan rapatkan jurang kepakaran perubatan di Sabah
- Azuan Ab Rahman

- 5 hours ago
- 1 min read

Pakar perubatan tetap bakal mula ditempatkan di beberapa hospital di Sabah seperti Kota Marudu dan Beaufort bagi mengatasi kekurangan tenaga pakar di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata usaha itu turut bertujuan melengkapkan inisiatif kementerian menggerakkan penggiliran pakar ke kawasan luar bandar Sabah.
"Sasaran tiga hingga lima tahun KKM adalah merapatkan jurang kepakaran di Sabah menerusi pemerkasaan Kluster Sandakan dan Tawau setaraf Kota Kinabalu merangkumi perkhidmatan kardiotorasik," katanya.
Beliau berkata begitu menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Sementara itu menurut Dr Dzulkefly,anak tempatan Sabah yang juga lulusan Institut Latihan KKM kini diserap secara tetap menerusi kuasa autonomi perjawatan.
Langkah tersebut jelasnya disusuli pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 15 peratus, kelulusan Elaun Perpindahan Penuh bagi pegawai bertukar status tetap dan semakan insentif Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP).
"Kementerian turut memperluas inisiatif Program Hospital Services Outsourcing kepada sektor swasta secara agresif bagi menangani isu kesesakan lobi dan wad hospital awam. Langkah ini diperkemas lagi menerusi kolaborasi strategik bersama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) untuk memanfaatkan sepenuhnya setiap kapasiti perubatan yang ada di Sabah
"Dari sudut infrastruktur dan teknologi pula, komitmen ini menterjemahkan pembangunan 53 projek RMK-13 bernilai RM1.56 Bilion, pembaikan 132 Klinik Daif bernilai RM75.5 Juta, serta suntikan gergasi RM1 bilion EMR oleh Perdana Menteri," katanya.




Comments