top of page

Kementerian Kesihatan bangunkan pangkalan data OKU palsi serebrum

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Oct 11
1 min read

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses membangunkan pangkalan data Orang Kurang Upaya (OKU) demi memastikan perkhidmatan diberikan sejajar dengan keperluan golongan itu.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, usaha yang dilaksana di bawah Pelan Strategik OKU ini merangkumi penyepaduan data dan profil keperluan komuniti palsi serebrum (CP).


"Pembangunan pelan strategik ini masih pada peringkat awal, namun penting bagi memastikan keperluan individu dengan CP terus diberi perhatian.


"Langkah ini bertujuan memperkukuh perancangan serta penyampaian perkhidmatan akan berteraskan data sebenar agar sentiasa relevan dengan keperluan sepanjang hayat mereka" katanya dipetik laporan media.


Dr Dzulkefly ditemui selepas merasmikan Simposium Palsi Serebrum 2026 di Shah Alam, Selangor pada Ahad.


Simposium dua hari bertemakan “Penjagaan Bersepadu Palsi Serebrum: Memperkukuh Penjagaan Sepanjang Hayat, Keterangkuman dan Potensi” itu menghimpunkan pakar kesihatan, ahli terapi, penjaga, keluarga serta wakil komuniti.


Berdasarkan rekod KKM, sebanyak 1,076 kes kanak-kanak CP telah didaftarkan serta menerima inisiatif intervensi awal di pelbagai klinik kesihatan di seluruh negara bermula dari 2016 hingga 2025.


Sementara itu menurut Dr Dzulkefly, individu CP juga perlu diberi peluang menjalani kehidupan seperti individu lain, termasuk membina kerjaya, mendirikan rumah tangga dan menjalin hubungan sosial.


"Ini merupakan satu perjalanan sepanjang hayat. Keterangkuman juga perlu dipastikan sepanjang hayat supaya mereka mendapat peluang untuk menjalani kehidupan seperti individu lain, termasuk membina kerjaya, mendirikan rumah tangga dan menjalin hubungan dengan orang lain," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page