Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memantau keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bagi memastikan tindakan segera dapat diambil demi menjaga kebajikan rakyat.
"Beberapa kementerian dan agensi kerajaan telah diminta merujuk kepada garis panduan atau Manual Pemantauan Cuaca Panas yang dibangunkan dan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan melanda negara," katanya dipetik.
Mengulas lanjut beliau berkata, NRES mempunyai Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang dipengerusikan beliau sendiri.
Jawatankuasa itu dianggotai wakil daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta wakil-wakil kerajaan negeri serta agensi kerajaan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu jelasnya telah bermesyuarat beberapa minggu lalu.
"Mesyuarat berkala diadakan jawatankuasa bagi merancang dan menyelaras persediaan negara dalam menghadapi cuaca panas dan kering, fenomena El Nino, pelaksanaan tindakan pencegahan pembakaran terbuka dan persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya jerebu.
"Kita mengingatkan mereka agar bersedia dengan tindakan yang perlu diambil, misalnya tahun lepas kita tahu ada kes kematian disebabkan strok haba, jadi kita minta mereka bersiap siaga.
"Begitu juga soal bekalan air apabila berlakunya cuaca panas, maka soal pengurusan bekalan air juga menjadi lebih kritikal. Itu semua telah kita ingatkan dan kita selaraskan, garis panduan pun sudah ada apa yang perlu dibuat dan sebagainya," jelasnya.
Beliau berkata cuaca panas yang dialami pada masa ini di beberapa negeri di utara Semenanjung adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.
"Berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di negara kita boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.
"Kekuatan fenomena El Nino dijangka berkurangan dan menjadi neutral pada pertengahan tahun ini," katanya.
Comments