Kementerian Ekonomi pelawa rakyat cadang-bina projek infrastruktur kecil

Updated: Jun 22, 2023

Kementerian Ekonomi memperkenalkan inisiatif dana terus dari kerajaan kepada rakyat yang mempunyai cadangan pembangunan di kawasan masing masing.
Program pertama kali dalam sejarah itu dikelolakan di bawah Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang membolehkan rakyat biasa mengemukakan permohonan projek infrastruktur kecil awam terus kepada pihak Kementerian.
Menurut Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, inisiatif dengan peruntukan RM500 juta tersebut boleh dimohon oleh sesiapa sahaja yang mempunyai cadangan bernas.
"IKR diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi bagi membolehkan rakyat memaklumkan secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan setempat masing-masing, seterusnya memohon keperluan tersebut untuk pertimbangan peruntukan kepada Kementerian Ekonomi.
"Inisiatif ini merupakan bantuan Kerajaan Persekutuan dan bertujuan untuk mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam yang terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan - PBT).
"Pelaksanaan IKR juga bertujuan untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil seluruh Malaysia yang akan mendapat manfaat dari projek-projek kecil ini serta mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam di seluruh negara bagi manfaat rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rafizi, terdapat 5 kriteria permohonan projek tersebut iaitu Projek infrastruktur kecil yang memberi manfaat segera kepada masyarakat umum; Kos projek yang dipohon tidak melebihi RM200,000; Projek dapat dilaksanakan dalam tahun semasa, bersifat best value for money, tiada elemen bermewah-mewah (nice to have) dan amat diperlukan untuk kegunaan umum
Projek juga, kata Rafizi, bukan untuk tujuan aset individu dan tidak terletak di atas tanah milik persendirian serta tidak melibatkan pengambilan tanah dan projek tersebut tidak bertindih dengan yang telah memperoleh kelulusan peruntukan daripada agensi Kerajaan lain sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.
Orang ramai yang ingin memohon bantuan projek-projek infrastruktur awam kecil boleh melayari laman web IKR di alamat ikr.ekonomi.gov.my bermula hari ini.




Comments