Pelbagai pertanyaan mengenai fungsi Kementerian Ekonomi dijawab dalam sesi penggulungan perbahasan belanjawan peringkat jawatankuasa petang tadi.
Menurut Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli (PH - Pandan), kementerian diterajui beliau bertanggungjawab kepada bidang keberhasilan utama negara.
"Pertama untuk menstruktur kembali ekonomi dan sebahagain besarnya dilakukan melalui perkara dasar dan perancangan.
"Seterusnya setelah ada dasar dan perancangan maka peruntukan diagihkan baik melalui peruntukan pembangunan yang dipohon oleh kementerian pelaksana, atau melalui pihak berkuasa koridor yang di bawah Kementerian Ekonomi.
"Kedua untuk memastikan peruntukan keseluruhan dan perbelanjaan keseluruhan kerajaan itu berlaku dengan tatakelola yang baik dan projek diatur melalui Rancangan Malaysia berlaku dengan baik
"Ketiga ialah membantu juga agensi di peringkat yang lebih bawah. Satunya pihak berkuasa koridor yang di bawah Kementerian Ekonomi. Satu lagi melalui Perbadanan Kemajuan Negeri (SEDC) yang pada awal sejak penubuhan SEDC yang ada kerjasama dengan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada ketika itu," katanya.
Rafizi turut menghuraikan butiran kajian yang dilakukan oleh kementeriannya. Salah satu adalah matlamat pembangunan mampan yang diperuntukkan sebanyak RM2.6 juta, yang juga berkaitan dengan program pembangunan mampan di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
Begitu juga, katanya, peruntukan untuk kajian kemungkinan yang perlu dilakukan apabila terdapat sesuatu cadangan projek.
"Kajian kemungkinan telah meningkat naik RM39.2 juta berbanding sebelumnya. Tahun 2023 peruntukan naik tinggi kerana tahun ini kita perlu lakukan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke (RMK) 12. Keperluan untuk mengadakan kajian datang dari kementerian dan pihak berkuasa lain.
"Contoh terkini cadangan kerajaan Thailand untuk membina jambatan darat, kita perlu mengadakan kajian kemungkinan kesan dan tindak balas kepada perancangan tersebut.
"Sebahagian besar kajian ini dibuat dengan institusi antarabangsa. Sebahagiannya dengan Bank Dunia. Kecualilah ada kemahiran tertentu yang unik dan khusus yang sesetengah pihak sahaja boleh melakukannya," kata Rafizi lagi.
Opmerkingen