
Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan bekerjasama mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu perkhidmatan bekalan air di negara ini.
Menterinya Rafizi Ramli berkata, secara dasarnya kerajaan akan pastikan perkhidmatan air di seluruh negara ditambah baik dalam tempoh dua tiga tahun akan datang dan memerlukan peruntukan yang lebih untuk tujuan itu.
Proses perbincangan bersama pengawal selia, kementerian dan agensi terbabit turut akan dilakukan sebelum proses keputusan di peringkat kabinet.
"Kita perlu lihat kepada prosesnya, apa yang perlu dibuat, perlu ganti dan ditambah baik mengikut keutamaan.
"Kementerian Ekonomi dengan NRECC seterusnya akan membentangkan kepada kerajaan, pilihan yang boleh diambil sekiranya bersesuaian dengan kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menyelesaikan isu air ini," katanya.
Rafizi berkata begitu dalam sidang akhbar sempena Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bersama kerajaan Pahang pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan menyelesaikan isu bekalan air terutama di Sabah dan Kelantan secepat mungkin.
Bercakap ketika menyampaikan Amanat Perdana semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad menegaskan beliau amat komited menyelesaikan isu membelenggu sekian lama itu.
Untuk itu beliau akan mengundang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam tempoh dua minggu ini untuk mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai keperluan kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan NRECC, Rafizi menjelaskan walaupun bidang kuasa air di bawah NRECC tetapi perancangan infrastruktur pula di bawah Kementerian Ekonomi.
"Sebab itu kerjasama antara dua kementerian ini perlu untuk mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi syarikat operator air di negeri-negeri," katanya.
Comments