top of page

Kemenangan Vijay: Pengundi Tamil Nadu tolak politik identiti agama, kasta

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • May 12
  • 2 min read

Kemenangan C. Joseph Vijay bersama partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu, India, disifatkan sebagai petanda jelas perubahan landskap politik di Asia yang semakin memihak kepada nilai dan kepimpinan golongan muda.


Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata, kemenangan tersebut mencerminkan penerimaan masyarakat, khususnya generasi muda terhadap pendekatan politik yang lebih berteraskan keadilan, inklusif dan progresif.


"Tahniah kepada Vijay dan TVK atas kejayaan dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu dan seterusnya diangkat sebagai Ketua Menteri.


"Kemenangan ini menandakan pemikiran baharu masyarakat terutama golongan muda yang lebih cenderung kepada perjuangan bersifat keadilan, inklusif dan progresif dalam memastikan pengukuhan keharmonian dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, perubahan itu turut menunjukkan penolakan terhadap politik identiti yang selama ini sinonim dengan sistem politik di India.


"Perubahan sikap ini menunjukkan penolakan kepada politik identiti walaupun India merupakan negara yang politiknya kuat didominasi oleh wang, kasta dan agama," katanya.


Dalam konteks Malaysia, Faiz berharap perkembangan tersebut menjadi pemangkin kepada golongan muda untuk menyokong politik berasaskan nilai, termasuk keadilan sosial, integriti dan tadbir urus yang baik.


Politik berasaskan identiti seperti 'Melayu terancam' atau 'Islam terancam' sepatutnya tidak lagi menjadi arus perdana dalam kalangan anak muda Melayu sebagaimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 lalu.


"AMANAH mengharapkan perubahan sikap golongan muda di dalam negara untuk lebih cenderung menyokong perjuangan berteraskan politik nilai yang merangkumi prinsip keadilan sosial, progresif, integriti dan tadbir urus baik.


"Selaras dengan prinsip rahmatan lil a’lamin, perjuangan mengukuhkan keharmonian dalam negara tanpa mengetepikan hak mana-mana kaum sama ada Melayu atau mana-mana bangsa lain adalah perjuangan yang perlu diangkat oleh semua pihak," ujarnya.


Tambah beliau, kemenangan Vijay juga memberi isyarat jelas bahawa pengundi di Asia kini lebih terbuka untuk menerima wajah baharu dalam kepimpinan negara.


"Ini jelas satu isyarat kepada parti-parti politik termasuk AMANAH untuk melihat kepada arah aliran kepimpinan golongan muda. Keberanian mengangkat golongan muda sebagai calon adalah satu cabaran dalam membawa perubahan politik negara," katanya lagi.


Untuk rekod, Malaysia dilanda 'wabak' politik identiti yang ekstrem dalam 'gelombang hijau' pada PRU 2022 lalu dan kemuncaknya pada pilihanraya enam negeri pada 2023 yang menyaksikan Perikatan Nasional menang besar selepas mendakwa orang Melayu diancam oleh kemaraan politik bukan Melayu di negara ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page