Kemenangan PH dinantikan, bela warga Sabah
- Suara Keadilan
- 38 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah Ke-17 kian terasa bahangnya apabila setiap parti dan penyokong mula melontarkan harapan serta meniup semangat menjelang hari pengundian pada 29 November nanti.

Suara Keadilan yang kini berada di Negeri Bawah Bayu bagi mengikuti kemeriahan pengumuman calon semalam, berpeluang menemubual beberapa anggota parti sekaligus menyelami harapan mereka terhadap calon yang bertanding menjelang saingan PRN17.
Bagi Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Beaufort, Ernie Edris, sememangnya kemenangan amat diharapkan terutama ke atas seorang calon wanita, iaitu Datin Rufinah Pengeran yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid.
"Perasaan saya sangat gembira (apabila ada wakil calon wanita bertanding) dan mengharapkan beliau menang di kawasan bertanding.
"Gembira dan bangga kerana beliau juga merupakan Ketua Wanita KEADILAN Sabah" katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Beliau yang telah bersama KEADILAN selama 10 tahun, menyifatkan konsep perjuangan yang dibawa oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat menarik dan menjadi dorongan utama untuk terus melibatkan diri dalam parti tersebut.

"Saya minat dengan Pakatan Harapan (PH) dan juga konsep perjuangan yang dibawa PMX (Anwar).
"Sokonglah parti PH! Datuk Seri Anwar bagus!" katanya lagi.
Seorang lagi anggota parti yang mewakili Cabang Beaufort, Azmi Sulaiman pula menyeru semua pengundi agar memilih calon daripada PH bagi memastikan khidmat terbaik dapat diberikan sekiranya mereka memenangi kerusi yang ditandingi.
"Saya akan mengundi di Cabang Beaufort. PH merupakan parti pilihan saya!" katanya dengan penuh semangat.
PRN Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 6 Oktober lalu.
Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pula pada 29 November ini.





