Kemelut ucapan perkauman PN-BN: Biar pengundi nilai sendiri - Tengku Zafrul
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) menumpukan kepada agenda dan usaha yang akan dilaksanakan, tanpa perlu memberi perhatian kepada pergolakan melanda Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata terdapat beberapa isu yang dilihat tidak serasi antara PN dan BN, namun perkara itu wajar diserahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian sendiri.
"PH fokus kepada apa yang kita buat. Apa yang berlaku di peringkat Perikatan (Nasional), Barisan Nasional itu kita biar sajalah.
"Kita tak nak bagi komen. Cuma biar pengundi sendiri membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka lihat berlaku kebelakangan ini," katanya dipetik laporan media.
Tengku Zafrul berkata begitu ketika ditemui media selepas sesi ‘walkabout’ bersama Calon PH DUN Kuala Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim semalam.
Terdahulu, kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor semasa ceramah perdana BN-PN di Jempol mengundang kecaman ramai termasuk dari kalangan pemimpin termasuk dari BN.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil mengingatkan Pengarah Pilihan Raya Pas itu agar tidak memainkan isu melibatkan kaum dan agama yang meresahkan pelbagai kelompok masyarakat negara ini.
Malah Presiden MIC, SA Vigneswaran menyeru BN mempertimbangkan langkah bertanding secara solo dalam PRN akan datang susulan kenyataan pimpinan Pas yang didakwa kerap menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu.
Kenyataan Sanusi turut mendapat perhatian Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum.
Kenyataan retorik perkauman tegasnya hanya menghakis semangat perpaduan yang menjadi asas pembinaan Malaysia.




Comments