Kemelut takhta N Sembilan: Kenyataan taat setia MB Ismail cetus kontroversi


Ulasan Berita: Kemelut berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus menjadi perhatian apabila wujud persoalan mengenai kedudukan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, susulan dakwaan beliau menandatangani surat cara proklamasi berkaitan penurunan takhta.
Kontroversi itu semakin mendapat perhatian selepas beberapa Undang Yang Empat dan pembesar berkata Ismail menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos lalu, yang didakwa berkaitan proses di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Beberapa Undang turut menunjukkan kepada media dokumen yang didakwa mengandungi tandatangan MB itu serta menegaskan Tuanku Muhriz perlu berhenti menjalankan fungsi kuasa kedaulatan sebagai Yang di-Pertuan Besar dengan serta-merta.
Bagaimanapun, perkembangan itu menimbulkan persoalan baharu apabila Ismail pada 6 September secara terbuka menzahirkan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail juga tidak menghuraikan secara terbuka dakwaan bahawa tandatangannya terdapat pada dokumen yang didakwa berkaitan proklamasi penurunan takhta tersebut.
Malah, beliau semalam menafikan dakwaan bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terbabit dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Tuanku Muhriz.
Percanggahan antara dakwaan berhubung dokumen tersebut dengan kenyataan taat setia Menteri Besar itu kini menjadi antara persoalan utama dalam kemelut berkenaan.
Persoalannya, sekiranya benar tandatangan Ismail terdapat pada dokumen yang didakwa sebagai proklamasi penurunan takhta, apakah konteks dan maksud tandatangan tersebut serta kedudukannya dari sudut perlembagaan dan undang-undang?
Wujud unsur derhaka?
Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis politik, Liyana Marzuki menerusi hantaran media sosial turut membangkitkan persoalan mengenai unsur “derhaka” dalam kemelut berkenaan.
"Menang pilihanraya. Mereka dilantik jadi Kerajaan oleh seorang Raja. Sekarang mereka plotting nak tumbangkan dia dan angkat Raja lain pula. True definition of modern time DERHAKA," tulisnya.
Bagaimanapun, Liyana tidak menamakan secara khusus mana-mana individu atau pihak yang dimaksudkan sebagai “mereka” dalam hantaran itu.
Kemelut tersebut kini bukan sahaja menyentuh persoalan adat dan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, malah turut mencetuskan perdebatan mengenai kesetiaan kepada institusi Raja serta kemungkinan implikasi politik daripada dakwaan yang dikemukakan.
Bagaimanapun, dakwaan bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan masih dipertikaikan dan kedudukan sebenar baginda perlu ditentukan berdasarkan proses perlembagaan serta undang-undang yang sah.




Comments