Kemelut politik Perlis bayangi kelemahan dalaman PN serius
- Suara Keadilan

- 7 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kemelut politik di Perlis yang berlaku sekarang mencerminkan masalah dalaman serius yang menghantui Perikatan Nasional (PN), apabila gabungan itu dilihat semakin rapuh akibat perebutan kuasa dan perpecahan kepimpinan.
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, krisis yang berlaku di negeri itu bukan berpunca daripada campur tangan pihak luar atau sabotaj pihak lawan, sebaliknya merupakan akibat langsung kegagalan dalaman Pas dan PN mengurus kuasa serta kepimpinan mereka sendiri.
Menurut beliau, Perlis kini menyaksikan konflik politik terbuka yang belum pernah berlaku sebelum ini apabila wakil rakyat daripada gabungan yang sama saling bertelagah sehingga menjejaskan pentadbiran negeri.
"Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PN menentang Menteri Besar daripada gabungan yang sama, wakil rakyat Pas berpecah sesama sendiri, malah barisan Exco turut bercanggah dengan Kerajaan Negeri yang mereka wakili," katanya dalam satu kenyataan.
Lokman menegaskan situasi itu menggambarkan keruntuhan dalaman Kerajaan Negeri, bukannya sebuah pentadbiran yang stabil dan berfungsi seperti yang sering dilaungkan oleh PN.
Beliau berkata kegagalan mengurus Perlis, sebuah negeri yang kecil dan sepatutnya mudah ditadbir, mendedahkan kelemahan serius PN sebagai sebuah gabungan politik.
"Jika PN gagal mengawal dan mentadbir Perlis dengan baik, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara?" soalnya.
Menurut Lokman, kemelut yang berlarutan itu turut menjadikan Perlis antara medan politik paling memalukan di negara ini, sekali gus meruntuhkan imej Pas yang sering menampilkan diri sebagai parti berteraskan moral, integriti dan kestabilan.
Beliau berkata krisis berkenaan membuktikan PN sedang menuju ke arah kehancuran yang didorong oleh ketamakan kuasa, perpecahan dalaman dan perebutan jawatan tanpa memerlukan sebarang tekanan daripada pihak luar.
"Ini adalah pengkhianatan terhadap mandat rakyat dan contoh jelas kegagalan kepimpinan," katanya.
Lokman turut mengkritik sikap Pas dan PN yang didakwa sering menggunakan retorik agama di pentas awam, namun mengamalkan politik kuasa secara tidak bermoral di sebalik tabir.
"Apabila agama dijadikan topeng politik dan bukan lagi panduan nilai, ia bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat, malah mencemarkan imej Islam dalam konteks politik," katanya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan persoalan serius mengenai perkembangan terkini di Perlis, termasuk kemungkinan kepimpinan Pas di peringkat pusat secara sengaja memilih laluan konfrontasi dengan Istana Perlis.
Menurutnya, jika perkara itu benar, ia merupakan satu peningkatan krisis berbahaya yang menunjukkan Pas dan PN sebagai tidak bertanggungjawab, tidak stabil serta tidak layak memegang kuasa.
"Dengan kekacauan yang berlaku di Perlis, Pas dan PN tidak mempunyai sebarang kedudukan moral untuk memberi syarahan kepada mana-mana pihak mengenai kestabilan, integriti atau keupayaan mentadbir di peringkat nasional," katanya lagi.









Comments