
Kelantan mungkin negeri asing bagi pengaruh KEADILAN. Namun keterasingan itu mungkin kurang tepat dalam menggambarkan suasana ketika ini apabila berlaku kemelut berat hubungan antara Umno dan Pas.
Menurut pembahas dari Kelantan Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor, dengan berlalunya hubungan baik dan berganti tegang antara Umno dan Pas sehingga Muafakat Nasional menjadi sejarah, tidak mustahil sokongan akan merosot kepada kedua dua buah parti itu dari kalangan rakyat yang mahukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Katanya, KEADILAN dalam keadaan itu boleh menjadi pihak ketiga dan mempunyai pengaruh untuk menumbangkan kerajaan Pas.
"Saya nak menyentuh soal Kelantan. Memang benar dalam dalam pemikiran biasa kita tidak mampu untuk meletakkan diri kita di Kelantan.
"Tetapi percayalah Datuk Seri Presiden, percayalah pemimpin pemimpin bahawa dengan kemelut politik yang berlaku dalam Pas dan Umno hari ini, kita akan tampil sebagai pihak ketiga untuk mengibarkan panji panji KEADILAN," ujarnya dalam sesi bahas menyokong usul ucapan dasar presiden, tengah hari tadi.
Oleh itu, kata Supardi lagi, anggota KEADILAN seharusnya berada dalam fasa penyatuan pemikiran, hati dan amalan mulai sekarang sehingga PRU akan datang bagi memperlihatkan keutuhan pengaruh parti itu di mata rakyat.
"Dalam gerak kerja parti, gerak kerja pilihan raya, kita ada tiga fasal. Pertama, kita mesti meletakkan wahdatul figh. Kita satukan pemikiran kita. Bila kita satukan pemikiran, kita letak manhaj maka jangan kita ada impian berbeza.
"Kedua, kita satukan hati hati kecil kita ini menjadi hati yang besar. Kita perlu berada dalam wahdatul qalb
"Ketiga, barulah kita laksanakan wahdatul amal, laksanakan usaha ini dalam satu gagasan utama," katanya lagi.