top of page

Kemelut di Perlis suatu pengajaran buat Pas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

MB Shukri dalam sidang media mengumumkan perletakan jawatan mengejut. Kredit foto: Berita Harian
MB Shukri dalam sidang media mengumumkan perletakan jawatan mengejut. Kredit foto: Berita Harian

Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Dalam sibuk Perikatan Nasional mahu menebuk atap Kerajaan Perpaduan, secara tiba-tiba minggu ini meletus krisis politik melibatkan Pas dan Bersatu di Perlis.


Gerakan untuk menyingkirkan Menteri Besar Perlis daripada Pas tidak digerakkan atau didalangi parti lawan, tetapi melibatkan ADUN-ADUN Pas dan Bersatu sendiri iaitu dua parti dalam PN.


Ibarat mereka sedang sibuk mahu merobohkan rumah orang lain, rumah sendiri telah 'bersarang' anai-anai ganas.


Lima ADUN Bersatu bersama tiga ADUN Pas dilaporkan telah mengemukakan Akuan Berkanun kepada Raja Perlis memaklumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Shukri Ramli dan seterusnya mengemukakan tiga nama daripada kalangan mereka sebagai penggantinya.


Hal itu pada mulanya hanya membawa kepada kedudukan tiga ADUN Pas berkenaan diisytiharkan terhenti keahlian parti mereka dan kerusi wakil rakyat yang masing-masing duduki diisytiharkan kosong.


Tidak lama selepas Speaker Perlis mengumumkan kekosongan tiga kerusi DUN terbabit dan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya akan dilakukan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan, secara mengejut Menteri Besar pula mengumumkan perletakan jawatannya.


Calon pengganti Menteri Besar


Ini bermakna, selain Pas perlu menghadapi PRK, mereka juga selepas ini harus memikirkan calon pengganti Menteri Besar.

Penulis - Noraini Nordin
Penulis - Noraini Nordin

Berebut calon satu hal, berebut mahu menjadi Menteri Besar satu hal lagi.


Di waktu yang sama, selepas Pas mengambil tindakan terhadap tiga ADUN mereka, setakat ini tiada tindakan dilihat ingin diambil oleh Bersatu kepada lima ADUNnya yang terlibat dalam usaha menyingkirkan Shukri sebagai Menteri Besar.


Berasa tidak puas hati dengan keadaan itu, Pas seterusnya menuntut Bersatu agar turut sama mengambil tindakan kepada lima ADUN berkenaan.


Ternampak di sini, hubungan Pas dan Bersatu sudah mula ada bibit-bibit masalah.


Jika tiada apa-apa tindakan daripada Bersatu, ia pastinya akan menyebabkan Pas menyimpan perasaan dan terus mencurigai rakan mereka dalam PN itu.


Pengajaran yang ada di sini ialah Pas selepas ini jangan terlalu seronok mencampuri hal ehwal yang berlaku kepada parti dalam kerajaan seperti KEADILAN, DAP, UMNO dan lain-lainnya.


Masalah dalam parti


Mereka patut lebih mengambil berat masalah dalam parti sendiri dan parti rakan yang ada dalam PN.


Krisis Menteri Besar Perlis di mana Shukri dijatuhkan oleh tiga ADUNnya sendiri bersama lima ADUN Bersatu, iaitu rakan semeja makan dalam PN adalah episod yang memalukan Pas dan seharusnya memberi pengajaran kepada mereka.


Tumpu dan jaga diri sendiri lebih baik buat Pas selepas ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page