top of page

Kemelut Bersatu: Pas jadi ‘king maker’ dalam konflik?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 15 hours ago
  • 2 min read

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar), menyifatkan kunjungan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin ke kediaman Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang baru baru ini sebagai satu isyarat politik untuk mencari sokongan dalam kemelut yang melanda gabungan pembangkang.


Menurut beliau, tindakan tersebut dilihat sebagai usaha Hamzah mendapatkan “talian hayat” politik daripada Hj Hadi, sekali gus menunjukkan Pas kini berada pada posisi sebagai ‘king maker’ dalam konflik dalaman Bersatu.


"Bagi saya tindakan tersebut dilihat isyarat politik Hamzah ingin dapat talian hayat dari Hj Hadi. Hadi pun smart, dia tak keluar kenyataan Hamzah pergi rumah dia," kata Lokman dalam siaran langsung Facebooknya, semalam.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut mengaitkan langkah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengunjungi rumah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin kemudiannya sebagai gambaran perebutan pengaruh dalaman yang lebih besar.


Menurut beliau, dalam Pas kini telah wujud blok yang menyokong Muhyiddin dan satu lagi yang cenderung kepada Hamzah. Katanya, krisis Menteri Besar Perlis serta tindakan pemecatan tiga ADUN Pas sebelum ini menjadi detik permulaan yang mencetuskan perpecahan itu.


Bagaimanapun, Lokman berpandangan Pas secara umum masih kekal menyokong kestabilan PN, namun dari sudut strategi parti itu akan memilih pemimpin yang mampu menjamin kekuatan kerusi Melayu khususnya di kawasan luar bandar.


"Mereka sebenarnya masih mengkaji antara Muhyiddin atau Hamzah," katanya.


Beliau turut mengingatkan sekiranya kemelut dalaman itu tidak ditangani dengan cermat, ia boleh membawa kepada pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang akhirnya akan menguntungkan Kerajaan Perpaduan.


Dalam masa sama, Lokman mendakwa Bersatu berdepan cabaran dalaman termasuk pembubaran beberapa bahagian di Johor, Selangor, Perak dan Terengganu yang menurutnya mencerminkan ketidakstabilan parti.


"Masa depan Bersatu makin hari makin gelap. Tokoh seperti Saifuddin Abdullah, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal (yang dipecat) juga tidak merayu untuk masuk semula kerana mereka sendiri tidak lagi mengharapkan Bersatu," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page