Banjir Sabah: Keutamaan kepada keselamatan, kebajikan penduduk - Mustapha
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan sedang memantau situasi banjir yang melanda kawasan utara Sabah dengan memfokuskan usaha memastikan keselamatan dan kebajikan semua mangsa sentiasa terpelihara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata begitu menerusi satu hantaran di Facebook selepas meninjau situasi banjir di Kota Marudu pada Sabtu.
"Keutamaan kita ketika ini adalah memastikan setiap mangsa mendapat perlindungan yang selamat, bekalan makanan dan minuman yang mencukupi, serta keperluan harian yang terjamin sepanjang berada di PPS," katanya.
Terdahulu, Mustapha mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Tandek.
Pada lawatan itu beliau turut diberi taklimat daripada pihak pengurusan bencana daerah berhubung jumlah mangsa terjejas, keadaan PPS serta langkah pengurusan yang sedang dilaksanakan oleh agensi penyelamat dan keselamatan termasuk Polis dan RELA.
Beliau turut menyantuni keluarga mangsa, mendengar keluhan serta keperluan mereka, selain merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira masa demi memastikan operasi PPS berjalan lancar.
"Sama-sama kita berdoa agar keadaan cuaca kembali pulih dan semua mangsa dipermudahkan urusan untuk kembali ke kediaman masing-masing dalam keadaan selamat," katanya.
Situasi banjir di Sabah dilaporkan semakin memburuk petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,652 orang setakat 4 petang ini berbanding 3,768 orang pada 12 tengah hari.
Semua agensi persekutuan dan negeri dilapor telah digerakkan secara menyeluruh bagi manghadapi situasi banjir yang melanda.









Comments