Kembara Jumpa Orang Muda 2.0 perkasa golongan belia luar bandar
- Suara Keadilan

- Jul 19
- 2 min read

Kembara Jumpa Orang Muda 2.0 (KembaraJOM) Zon Utara yang berlangsung selama tiga hari dua malam dari 17 hingga19 Julai 2025, di Desa KEDA Sungai Senam, Daerah Sik, Kedah telah berjaya mencapai objektif mendekati dan memperkasa golongan belia, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan, Kembara JOM 2.0 merupakan satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) Negeri Kedah dan beberapa rakan strategik, bertujuan memperkasa penglibatan belia luar bandar melalui pendekatan anak angkat bersama komuniti.
Program kali ini, kata kenyataan itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
"Program ini memberi tumpuan kepada belia berumur 18 hingga 30 tahun dari Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang tidak berpersatuan, melibatkan 93 peserta dan 46 keluarga angkat dari komuniti setempat.
"Pendekatan ini berjaya merapatkan jurang generasi dan menerapkan nilai kekeluargaan, tanggungjawab sosial serta semangat kesukarelawanan selari dengan nilai Kesejahteraan, Hormat, Ihsan dan Keyakinan di bawah kerangka Malaysia MADANI.
"Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan pertubuhan belia dalam mendukung aspirasi generasi muda ke arah masa depan negara yang inklusif, harmoni dan berdaya tahan," kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang pelaksanaan Kembara JOM 2.0 Zon Utara, para belia didedahkan kepada aspek kepimpinan akar umbi, pengurusan organisasi, keusahawanan sosial dan peluang latihan kemahiran. Sesi townhall santai bersama Timbalan Menteri turut diadakan sebagai ruang perkongsian harapan dan cabaran belia.
"Program ini bukan sahaja diharap melahirkan pemimpin pelapis, malah memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan belia dan komuniti setempat.
"Ia juga menyokong pelaksanaan Pelan Transisi Umur Belia yang menetapkan had umur pemimpin belia antara 18 hingga 30 tahun," katanya.
Manakala kemuncak program menyaksikan acara Bertemu Pelanggan dengan pelbagai pengisian bersama masyarakat, termasuk aktiviti gotong-royong, Sembang santai penduduk bersama Pengerusi KEDA dan Timbalan Menteri, pameran agensi perkhidmatan awam, program khidmat komuniti pelbagai agensi seperti Pertukaran Topi Keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Pertandingan Gubahan Bunga dan Mewarna oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS); Program Tukar Minyak Hitam Percuma oleh Kolej KEDA dan Jualan Rahmah MADANI oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta sesi interaksi bersama keluarga angkat.
Program berkenaan turut digerakkan bersama Majlis Belia Negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sebagai platform memperkukuh perpaduan dan jaringan antara generasi.









Comments