top of page

Kembangkan industri buah tropika dalam tin, diproses - Sheikh Umar

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
13 hours ago
2 min read

Malaysia perlu berhenti melihat buah-buahan tropika sekadar hasil pertanian untuk dijual segar, sebaliknya mula mengindustrikannya menerusi pemprosesan dan produk hiliran bernilai tambah tinggi bagi menjana ekonomi negara, cadang Senator Sheikh Umar Bagharib Ali (gambar).


Ahli Dewan Negara itu berkata, kelebihan geografi, iklim, kepelbagaian sumber serta pengalaman dalam bidang pertanian memberi Malaysia asas kukuh untuk membangunkan industri buah-buahan yang lebih besar, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan domestik malah menembusi pasaran eksport.


Beliau berkata, kekuatan sesuatu komoditi tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan keluasan tanaman atau jumlah pengeluaran, tetapi perlu mengambil kira keseluruhan rantaian nilai bermula daripada pengeluaran dan penuaian sehingga proses pascatuai, pemprosesan, pemasaran serta eksport.


Katanya, Malaysia mempunyai pelbagai buah-buahan tropika antaranya nanas, durian, manggis, rambutan, nangka dan cempedak. Semua mempunyai tempat tersendiri dalam sektor agro makanan negara.


"Pada 2024, Malaysia hasilkan sekitar 568,807 tan durian, 516,870 tan nanas dan 335,444 tan pisang. Jumlah ini menunjukkan kita mempunyai asas bahan mentah yang kukuh untuk bangunkan industri hiliran.


"Ingat! Keistimewaan buah-buahan Malaysia bukan sekadar kuantiti. Sebahagian besarnya memiliki karakter rasa, aroma, tekstur dan varieti tersendiri.


"Durian antara contoh paling jelas, Begitu juga nanas dengan varieti seperti MD2, SG1 dan MS16 mempunyai ciri rasa, kemanisan, tekstur dan penampilan menarik. Sesuai untuk pasaran segar serta sangat berpotensi dikembangkan menjadi pelbagai produk hiliran.


"Ini merupakan kelebihan. Dari satu jenis buah ke arah penghasilan pelbagai jenis produk," katanya menerusi satu kenyataan.


Beliau yang juga mantan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berkata, daripada satu jenis buah sahaja, pelbagai produk bernilai tambah boleh dihasilkan termasuk jus, puri, pekatan, jem, sos, buah kering, produk sejuk beku serta bahan ramuan makanan.


Ujarnya, nilai sesuatu buah tempatan tidak sepatutnya terhenti pada harga jualan segar dan ia boleh terus berkembang apabila dikaji, diproses, dibungkus, dijenamakan dan dipasarkan dalam bentuk produk bernilai tambah yang lebih tinggi.


"Pendekatan itu juga mampu menangani masalah lambakan dan kerugian pascatuai kerana buah-buahan yang tidak memenuhi spesifikasi pasaran segar atau premiu, masih boleh diproses sekiranya kualiti isinya baik.


"Kaedah pemprosesan membolehkan lebihan hasil ketika musim puncak diserap industri, sekali gus memanjangkan jangka hayat produk, mengurangkan pembaziran serta memberi alternatif kepada petani berdepan kejatuhan harga akibat lambakan,’’ ujarnya lagi.


Sehubungan itu, katanya, pembangunan kilang pemprosesan buah perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi nasional kerana kewujudannya bukan sahaja memberi pasaran kepada hasil petani, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta menggerakkan sektor teknologi, pembungkusan, logistik, penyimpanan, kawalan kualiti, penyelenggaraan dan pemasaran.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page