Kembalikan projek Bas Rapid Transit, contohi 'Transjakarta BRT'
- Redzuan Shamsudin
- Mar 15, 2024
- 2 min read

Projek Bas Rapid Transit (BRT) yang telah dibatalkan pada tahun 2017 seharusnya dihidupkan kembali dengan melakukan beberapa langkah penambahbaikan bagi menghindari pembinaan beberapa lebuh raya baharu yang dicadangkan bertujuan menguraikan kesesakan, khususnya perjalanan masuk ke ibu kota Kuala Lumpur atau metropolitan di Selangor.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan berkata, Malaysia seharusnya mencontohi sistem “Transjakarta BRT” di Indonesia yang menyambut ulang tahun ke-20 tahun ini bagi digunapakai di negara ini dengan beberapa penyesuaian.
"Berjarak melebihi 250km, rangkaian BRT Indonesia merupakan rangkaian terpanjang di dunia dan Pemuda AMANAH percaya ia mampu memberi "inspirasi" kepada pembinaan BRT di Malaysia.
"Sistem BRT “tertutup” di Bandar Sunway (Petaling Jaya) juga boleh menjadi panduan bagaimana mengimplimentasikan sistem BRT secara meluas," kata Ammar dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sistem BRT adalah lebih murah dan mudah dibina berbanding sistem tren MRT dan LRT yang melibatkan teknologi yang lebih kompleks.
Misalnya, kata beliau, ketika projek BRT Klang-KL diumumkan dahulu kosnya dianggarkan sekitar RM2 bilion untuk jarak 34km.
"Walaupun kos tersebut pastinya telah meningkat, kita mesti mengambil kira kos pembinaan mod pengangkutan lain. Contohnya, dalam Belanjawan 2024, kos membina 5 stesen LRT3 sahaja dianggarkan mencecah RM4.7 bilion," katanya.
Tambah Ammar, Kerajaan sehingga kini sudahpun mempunyai hasil kajian mengenai cadangan projek BRT.
Malah, sejak 2009, katanya, 12 kawasan terutama sekitar Lembah Klang telah dikenalpasti untuk dibangunkan BRT. Ketika itu, 12 projek tersebut berjarak 215km, iaitu hampir sama dengan projek Transjakarta BRT.
Justeru, Pemuda AMANAH berkata, hasil kajian tersebut boleh ditambah baik dan projek-projek berkenaan dapat dihidupkan kembali.
"Ingin Pemuda AMANAH utarakan beberapa cadangan agar projek BRT ini dapat dimulakan segera. Bagi mengurangkan kos dan tempoh pembinaan, laluan khas bas BRT ini dicadangkan dibina pada “ground level” atau paras jalanan.
"Hanya di kawasan-kawasan padat dan bertrafik tinggi sahaja konsep jejambat atau laluan bertingkat diperkenalkan untuk memastikan bas-bas dapat bergerak tanpa mengganggu trafik. Lebih utama, laluan “ground level” dan jejambat ini harus diintegrasikan melalui “ramp” bagi memastikan sambungan tanpa halangan bagi bas-bas BRT.
"Selain itu, sistem BRT tidak harus dimonopoli oleh satu pihak pengendali sahaja seperti Prasarana yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. Sepatutnya, BRT ini harus mengintegrasi bas-bas Prasarana dan pengendali bas-bas swasta di bawah satu sistem yang sama.
"Sistem “unified” ini, misalnya menerusi aplikasi telefon, dapat mengkoordinasi masa, laluan dan pemandu bas secara holistik untuk mencapai “user experience” yang optimum. Sejajar pengintegrasian ini, bas-bas BRT juga dicadangkan ditukar kepada bas elektrik secara berfasa," katanya.
Tambah Ammar, rangkaian BRT ini harus bersambung dengan sistem-sistem lain seperti LRT, MRT dan KTM untuk memastikan pengguna dapat menukar laluan secara sistematik. Dengan adanya “seamless connections” beliau berharap kadar tambang juga dapat diselarikan di mana satu pas atau tiket penumpang dapat digunakan untuk semua mod pengangkutan.
"Sekiranya pelaksanaan ini berjaya di Lembah Klang, konsep BRT ini boleh diperluaskan pelaksanaannya di bandar-bandar luar Lembah Klang dan Selangor pada jangka masa panjang," katanya lagi.
Pemuda AMANAH juga, kata Ammar, yakin bahawa pemantapan sistem pengangkutan awam dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya dan menarik minat anak muda untuk menggunakan pengangkutan awam.
Commentaires