Perbahasan Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa kementerian perlu diberi perhatian serius dan sekiranya membazir Pakatan Harapan (PH) harus menolak melalui Undi Belah Bahagi.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, R. Yuneswaran berkata, PH wajar mencadangkan pemotongan atau pertambahan beberapa perkara yang janggal dalam pengumuman belanjawan 6 November lalu.
"Kembalikan peruntukan untuk UiTM yang telah dipotong berjumlah lebih dari RM100 juta. Dalam Belanjawan 2020, UiTM menerima peruntukan berjumlah RM1.861 bilion, namun apa yang kita lihat dalam Belanjawan 2021, peruntukkan ini dipotong sebanyak RM129 juta. Jika tidak, ia akan memberi kesan kepada kesemua 20 kampus dan 160,957 pelajar yang rata-rata terdiri daripada anak Bumiputera, B40, anak petani, peneroka dan buruh.
"Kembalikan peruntukan khas kepada sekolah vernakular, di mana belanjawan 2020 telah memberi peruntukan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sebanyak RM50 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) RM50 juta," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, bagi peruntukan yang membazir Yuneswaran menyarankan agar ia diperdebatkan. Sekiranya kerajaan Perikatan Nasional berdegil maka sewajarnya belanjawan kementerian tersebut digagalkan dan kerajaan perlu membuat belanjawan baharu.
"Wajib dan perlu batalkan peruntukan untuk JASA di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebanyak RM85 juta. Kaedah alternatif adalah, peruntukan tersebut disalurkan kepada Jabatan Penerangan. JASA adalah agensi politik. Peruntukan untuk BERNAMA telah dikurangkan sebanyak RM 12 juta, RTM dikurangkan hampir RM 100 juta, Jabatan Penerangan telah dikurangkan sebanyak lebih RM 10 juta dan FINAS telah dikurangkan sebanyak RM 3 juta.
"Batalkan peruntukan untuk Penggerak KPKT RM8 juta dan salurkan peruntukan tambahan kepada frontliners dan KKM. Tambahan sumber untuk menangani penularan wabak termasuk RM3 bilion yang diumumkan untuk vaksin, jadikan RM5 bilion.
"Batalkan peruntukan projek khas RM1 bilion di bawah Pejabat Perdana Menteri yang tidak ada penjelasan apakah kegunakan jumlah wang yang begitu besar oleh Perdana Menteri," katanya lagi.
Sekiranya PH berjaya menggagalkan belanjawan yang membazir tersebut maka keyakinan rakyat kepada pembangkang akan bertambah kukuh untuk memimpin Malaysia pada masa hadapan.
Comentarios